Bekalan elektrik 33 lokasi di Kota Tinggi ditutup

Bekalan elektrik di bandar Kota Tinggi turut ditutup pada Isnin bagi tujuan keselamatan akibat banjir.
Bekalan elektrik di bandar Kota Tinggi turut ditutup pada Isnin bagi tujuan keselamatan akibat banjir.
A
A
A

KOTA TINGGI - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di 33 lokasi sekitar daerah ini yang kini teruk terjejas banjir sejak Ahad.

Menurut notis yang dikeluarkan dalam Facebook TNB Careline, terdapat beberapa kawasan yang telah disambung bekalan elektrik setelah air surut pada malam Isnin.

Notis tersebut memberitahu, antara senarai kawasan yang masih belum mendapat bekalan elektrik ialah Bazar Kota Tinggi; Wisma Panti; Taman Medan Indah; Mawai Jaya; kedai dua tingkat Kipmart Kota Tinggi dan Taman Ria.

"Bekalan elektrik turut ditutup pusat bandar; Pekan Rabu; Pasar Awam; Perumahan Panti; Taman Kuso; bangunan Mara; Pejabat Pendidikan; Gereja Kota Tinggi; Taman Aman; Kota Point; Ho Hup; Sarang Burung Layang-layang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sungai Kemang.

"Peringatan diberi supaya menjauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus elektrik," menurut kenyataan berkenaan.

Selain itu notis berkenaan memaklumkan, pepasangan elektrik TNB berada dalam keadaan selamat di Johor.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, bagi bekalan elektrik di Johor Bahru yang ditutup di tiga lokasi telah pulih sepenuhnya.

"Sebelum ini terdapat tiga lokasi di Johor Bahru iaitu Kampung Paya Kenangan, Taman Ulam Raja dan Sekolah Kebangsaan (SK) Maju Jaya ditutup bekalan elektrik, telah dipulihkan sepenuhnya pada petang tadi," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!