Boleh berhutang tetapi biarlah berpada-pada

Gambar hiasan 123rf
Gambar hiasan 123rf
A
A
A

AKHBAR ini pada Sabtu lalu melaporkan mengenai trend rakyat Malaysia yang lebih gemar menyewa rumah berbanding membeli kediaman menerusi pinjaman institusi kewangan.

Harga kediaman di Malaysia meningkat antara 10 hingga 20 peratus setiap tahun dan ketidakmampuan kewangan individu untuk membeli rumah menjadi faktor utama menyebabkan masih terdapat ramai golongan berusia lebih 40 tahun tidak berupaya memiliki rumah.

Antara faktor yang membawa kepada ketidakmampuan golongan ini membeli rumah adalah sikap mereka sendiri yang gemar berhutang lebih awal melalui pinjaman peribadi, kad kredit serta skim ansuran bulanan beli barang.

Akibatnya, mereka berdepan kesukaran melepasi syarat kelayakan minimum pembiayaan pinjaman perumahan oleh institusi kewangan.

Namun adakah ini bermakna kita langsung tak boleh berhutang sebelum beli rumah?

Nak beli rumah bukan mudah, perlu deposit yang tinggi yang sudah tentu mengambil masa bertahun-tahun hendak mengumpul wang.

Bagaimana dengan kereta, tidak bolehkan kita lakukan pinjaman kereta sebelum beli rumah?

Pastinya jawapan yang diterima pelbagai. Kedua-duanya sama penting dan tiada jawapan yang betul terhadap soalan berkenaan, ikut keperluan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Ada yang berpendapat rumah lebih penting kerana dia boleh menunggang motosikal selain rumah dan tempat kerjanya dekat dengan pengangkutan awam.

Tapi mungkin bagi wanita yang tidak pandai menunggang motosikal atau perlu dua tiga kali tukar pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, tentunya kereta lebih perlu sebagai pengangkutan pergi dan balik daripada bekerja.

Yang sering menimbulkan masalah bukanlah beli kereta dahulu daripada rumah, tapi beli kereta yang harganya di luar kemampuan.

Cukuplah beli kereta yang harganya di bawah RM50,000 dan ansuran bulanannya tidak melepasi RM500 pada permulaan.

Dengan ini, kita pasti ada wang simpanan mencukupi untuk bayaran deposit selain dapat memenuhi syarat kelayakan minimum pembiayaan pinjaman perumahan.

Dalam masa sama jangan berhutang dengan benda-benda bukan keperluan seperti telefon bimbit berjenama mahal.

Jika berpada-pada berhutang hanya pada barangan yang perlu sahaja, insya-ALLAH kita mampu beli rumah dalam tempoh lima atau 10 tahun selepas mula bekerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!