'Kecil-kecil cili padi'
MALAYSIA wajar memanfaatkan kepantasan tiga pemain 'kecil' yang boleh dianggap sebagai segi tiga emas di barisan hadapan untuk merobek gawang lawan dalam saingan Piala Asia Qatar 2023 di Doha minggu depan.
Mereka yang terdiri daripada Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Akhyar Rashid disifatkan sebagai kecil-kecil cili padi, namun licik dan memiliki kemahiran yang mampu menggerunkan pasukan lawan.
Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa percaya jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon akan menggunakan taktikal yang baik mempertaruhkan kelibat mereka untuk mengucar-kacirkan benteng lawan.
Beliau berkata, jurulatih dari Korea Selatan itu juga boleh mempelbagaikan taktikal kerana corak permainan pasti akan berubah ketika perlawanan rancak berlangsung.
“Aksi Malaysia sudah pasti dianalisis oleh pasukan lain, mereka telah dapat baca game play Pan-gon. Arif Aiman antara pemain yang akan 'diikat kuat', tidak boleh bergerak bebas seperti aksi sebelum ini.
“Namun, pemain lain seperti Faisal dan Akhyar boleh ambil alih peranan untuk kelirukan pasukan lawan. Saya anggap mereka (Faisal, Akhyar dan Arif Aiman) sebagai segi tiga emas buat Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Harimau Malaya diletakkan dalam Kumpulan E akan memulakan kempen menentang Jordan pada 16 Januari sebelum meneruskan saingan bertemu Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).
Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam turut melihat tekanan akan dirasai oleh setiap pasukan tanpa mengira kedudukan ranking mereka kerana Piala Asia adalah pentas yang besar.
Justeru beliau berharap para pemain beraksi dengan penuh disiplin, semangat juang tinggi dan kepelbagaian taktikal untuk mengelirukan pasukan lawan.
“Para pemain yang beraksi di pentas besar ini mempunyai tahap kecergasan yang amat tinggi, game play yang berubah-ubah dan corak permainan yang pantas.
“Jadi para pemain perlu bersedia. Wajar ada pemain yang berupaya memimpin rakan sepasukan lain dengan baik untuk mengatur gerak dan mengubah taktikal ketika dalam permainan dengan arahan jurulatih.
“Pemain seperti Dion Cools dan Matthew Davies antara yang layak. Selain Faisal, seorang pemain unik yang mampu menaikkan semangat rakan sepasukan,” katanya.
Beliau juga berharap jentera tengah dapat berfungsi dengan cemerlang untuk menjadi tulang belakang antara barisan serangan dan benteng.
“Mereka perlu mengawal permainan dengan sangat baik dalam tempoh 20 minit pertama. Ia bagi melihat langkah dan keupayaan pasukan untuk minit-minit seterusnya. Bertahan dan menyerang seterusnya menghasilkan gol,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!