Perluas skop perlindungan Seksyen 3 Akta 792
SHAH ALAM - Kerajaan sedang menjalankan kajian sewajarnya bagi memperluas skop perlindungan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) untuk menangani isu berkaitan eksploitasi seksual dalam talian terhadap golongan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia bertujuan memberi perlindungan lebih baik kepada mangsa tanpa mengira lokasi geografi pelaku.
“Jenayah eksploitasi seksual dalam talian terhadap kanak-kanak merupakan satu isu yang merentasi sempadan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, seksyen itu memperuntukkan mana-mana warganegara yang melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak di luar negara boleh dianggap sebagai melakukan perbuatan tersebut di Malaysia dan tindakan boleh diambil terhadap rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan sedemikian di luar negara.
Azalina berkata, di bawah Akta 792, kesalahan berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam talian melibatkan enam kategori kesalahan dengan hukuman tempoh pemenjaraan selama lima tahun penjara hingga 30 tahun serta sebatan.
Menurutnya, akta itu turut memperuntukkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dalam talian yang lain termasuklah pengantunan kanak-kanak, berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak dan menyebabkan mereka memerhati atau mendengar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
“Pada tahun 2023 dua pindaan baharu telah diluluskan untuk memerangi jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian: seksyen baharu 15 A Akta 792 memperuntukkan kesalahan berkaitan dengan persembahan seksual oleh kanak-anak.
“Seksyen baharu 5B pula memperuntukkan kesalahan yang berkaitan dengan pemerasan seksual kanak-kanak,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Perpaduan akan terus bekerjasama rapat dengan rakan sejawat antarabangsa dalam usaha global menangani jenayah keji ini.
“Perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi seksual dalam talian adalah tanggungjawab bersama dan Malaysia akan terus bekerjasama bersama komuniti global untuk mengatasi isu berkenaan dengan berkesan,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!