Jangan sampai tak mandi ke tempat kerja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ESOK seluruh Pulau Pinang akan berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari berikutan kerja-kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.

Perkara itu telah diumumkan awal oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada 8 Disember lalu disertakan peringatan untuk orang ramai agar menyimpan bekalan air yang mencukupi sepanjang tempoh gangguan bermula jam 6 pagi esok, 10 Januari hingga jam 6 pagi, 14 Januari.

Meskipun kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), pasukan bomba sukarela dan agensi lain akan menyediakan 99 buah loi tangki air termasuk bersaiz jumbo di setiap daerah, namun inisiatif serta persediaan sendiri perlu dibuat agar tidaklah nanti ada yang ke pejabat dengan tak mandi.

Selepas perkara ini mendapat perhatian umum, jualan tong penyimpanan air di kedai perkakasan laku bak pisang goreng panas malah ada yang lebih kreatif berkongsikan tip jimat untuk simpan air dengan hanya menggunakan plastik sampah dan raga baju.

Kalau tak nak mengusung bekas air dan berbaris mendapatkan bekalan air dari lori tangki, lebih baik ikut sahaja tip itu atau penuhkan apa sahaja bekas yang ada di rumah termasuk ‘tupperware’ yang sekian lama dipamerkan dalam almari kaca dan rak di dapur.

Jenuh juga kalau air ‘tak dak’ dalam tempoh lama yang pastinya akan menyukarkan kita untuk solat, memasak, membersihkan diri dan mencuci.

Ketika ini, jualan air minuman botol dan air mineral antara yang ‘laku keras’ di kedai dan pasar raya hinggakan ada peniaga terpaksa mengehadkan pembelian kepada setiap pelanggan selepas ada yang memborong sakan seolah-olah Pulau Pinang bakal berdepan krisis air teruk.

Nampaknya penduduk Pulau Pinang kali ini betul-betul buat persiapan rapi untuk berdepan dengan episod gangguan bekalan air yang pasti akan ‘menyusahkan’ mereka.

Artikel Berkaitan:

Mungkin gangguan bekalan air hampir seminggu yang berlaku akibat kejadian paip pecah di dasar Sungai Perai pada 18 Disember lalu memberi pengajaran bermakna bagi kira-kira 200,000 pengguna yang terjejas sebelum ini.

Sebelum ini penduduk di daerah Barat Daya dan beberapa pengguna di Seberang Perai dah rasa azabnya apabila membuka pili tiada apa yang mengalir keluar.

Kali ini kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual ini.

Lebih menyeksakan buat mereka yang tinggal di kawasan flat, pangsapuri mahupun kondominium yang terpaksa naik turun untuk dapatkan bekalan air dari lori tangki.

Bayangkan pula pekerja asing yang tinggal di asrama, selain terpaksa berebut untuk dapatkan bekalan air untuk mandi dan buang air, mereka juga berdepan masalah mempunyai tempat yang terhad menyimpan stok air di dalam asrama.

Silap-silap hanya disebabkan air boleh berlaku kecurian atau pergaduhan sesama mereka.

Bagaimanapun, dengan pengumuman Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang yang memaklumkan kebanyakan pengilang dalam kategori perusahaan kecil sederhana (PKS) di sini, dijangka menghentikan operasi mereka sekurang-kurangnya selama dua hari pasti melegakan mereka.

Setakat ini, difahamkan hanya sektor PKS sahaja telah menyatakan untuk memberikan ‘cuti peristiwa’ kepada pekerja dengan menghentikan operasi seketika.

Selain itu, mereka yang terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B) juga mungkin diberi rehat seketika sementara menunggu bekalan air pulih.

Bagaimanapun, perkhidmatan kerajaan, sesi persekolahan malah operasi hospital dan klinik kesihatan di negeri ini tidak akan terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan air berlaku.

Diharapkan kerja-kerja penyelenggaraan yang akan dilakukan PBAPP akan berjalan lancar dan siap mengikut jadual.

* Mohd Iskandar Othman adalah wartawan Sinar Harian Edisi Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!