Terkilan KDM bekerjasama UMNO-Warisan punca Johair tinggalkan parti

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KOTA KINABALU - Terkilan dengan keputusan yang bakal dilakukan oleh kepimpinan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang bekerjasama dengan UMNO dan Parti Warisan (Warisan) punca bekas Naib Presiden, Datuk Johair Mat Lani meninggalkan parti.

Johair berkata, walaupun beliau mempunyai jawatan di dalam parti, namun pandangannya kurang diambil perhatian sekali gus menyebabkannya tidak sehaluan.

"Saya sebagai orang nombor tiga dalam parti, tetapi suara saya itu cuma satu atau dua peratus rasanya, lebih baik kita tinggalkan saja.

"Sejujurnya, saya terkilan dengan apa yang bakal dilakukan oleh kepimpinan tentang kebersamaan dengan UMNO-Warisan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan UMNO dan Warisan sudah tidak relevan ketika ini terutama di kawasannya di Beaufort.

"Saya pernah berada di kedua-dua parti itu dan pada saya terutamanya di kawasan Beaufort kedua parti ini sudah tidak relevan.

"Saya melihat perkembangan bahawa ramai penyokong akar umbi terutama parti besar ini seperti UMNO, mereka tidak berapa selesa dengan apa yang bakal dilakukan pimpinan tersebut. Saya dan ahli rasa tidak selesa," jelasnya.

Susulan daripada keputusan itu, KDM Bahagian Beaufort 'lumpuh' apabila beliau yang juga Ketua Bahagian bersama barisan kepimpinan telah meninggalkan parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau juga mengambil keputusan untuk meninggalkan parti dan bakal menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak lama lagi.

"Secara umumnya memang kami keseluruhan akan menyertai Gagasan Rakyat sebab hasrat kami tinggalkan KDM itu pun adalah untuk menyertai Gagasan Rakyat yang kami yakin ia adalah satu parti yang dominan untuk Sabah.

"Untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti, pasukan kami melihat hanya Gagasan Rakyat antara parti besar yang boleh kita letakkan harapan sebab kalau dilihat senario yang ada di Sabah khususnya di Beaufort, Gagasan Rakyat masih kuat.

"Jadi kami ambil peluang untuk tinggalkan parti ini lebih awal untuk menyatakan sokongan kepada wakil-wakil Gagasan Rakyat yang ada di Beaufort," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Johair mengumumkan keluar daripada KDM berkuatkuasa serta merta pada Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!