Langkah Dubai: AMK Terengganu buat laporan polis

Md Asyraf Zulfadhly
Md Asyraf Zulfadhly
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu pada Isnin membuat laporan polis berhubung gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan berkaitan Langkah Dubai itu dibuat oleh Ketua AMK Terengganu, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin di Balai Polis Kuala Terengganu, dekat sini pada petang Isnin.

Menurutnya, laporan itu dibuat bagi menyiasat gerakan yang didakwa sedang diusahakan oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menerusi pendedahan oleh penulis blog kontroversi, Raja Petra Raja Kamaruddin.

"Dia (Raja Petra) mendakwa terdapat gerakan bersungguh-sungguh beberapa ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

"Gerakan Langkah Dubai ini jelas adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja menggugat sistem demokrasi berparlimen.

"Malah perkata tersebut adalah sia-sia kerana Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan menghalang sebarang usaha menukar Perdana Menteri dan kerajaan di pertengahan pentadbiran," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Md Asyraf Zulfadhly menyatakan pihaknya yakin gerakan itu telah dimulakan oleh beberapa ahli Parlimen termasuk pimpinan pembangkang yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, tindakan mereka hakikatnya boleh memudaratkan demokrasi berparlimen, menimbulkan keresahan setta mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Artikel Berkaitan:

"Cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara mesti digagalkan," jelasnya.

Justeru, Md Asyraf Zulfadhly berkata, pihaknya telah meminta pihak Polis Diraja Malaysia menyiasat gerakan ini yang sangat jelas bertentangan dengan Seksyen 124B Kanun Keseksaan dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

"Jadi kepada warga yang masih berdegil diingatkan bahawa undang-undang sedia ada mesti digunakan bagi menghukum mereka," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!