Pelajar jatuh tingkat empat meninggal dunia
ALOR SETAR - Pelajar perempuan tingkatan lima yang cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sebuah sekolah di Alor Setar, Isnin lepas meninggal dunia hari ini.
Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata pelajar itu yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini disahkan meninggal dunia pada pukul 1 pagi tadi.
"Pelajar berkenaan mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke hospital sehingga hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isnin lepas, pihak Jabatan Kecemasan dan Trauma HSB menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 7.04 pagi dan pelajar berkenaan terus dimasukkan ke Zon Merah sebaik tiba di hospital itu pada pukul 7.40 pagi.
Hasil pemeriksaan mendapati pelajar tersebut mengalami kecederaan patah tulang di bahagian tengkuk, kedua-dua peha kanan dan kiri, selain luka di bahagian dahi kanan. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!