Khaled jamin teruskan perancangan Tok Mat
KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memberi jaminan akan meneruskan perkara-perkara asas yang dibangunkan sebelum ini dengan penuh dedikasi.
Mohamed Khaled berkata, ia termasuk memastikan pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan dan pelan-pelan strategik lain seperti yang telah dirancangkan oleh bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Saya ingin menegaskan bahawa pertukaran untuk menerajui tampuk kepimpinan kementerian ini, tidak sama sekali bermakna segala yang telah dipersetujui dan dibangunkan sebelum ini akan ditinggalkan atau dihentikan serta-merta.
"Sebaliknya saya memberi jaminan segala perkara asas yang dibangunkan dengan baik akan saya teruskan," katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2024, Menteri Pertahanan di sini, pada Selasa.
Mohamed Khaled turut berterima kasih kepada semua warga kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memberikan yang terbaik dalam menjalankan tugas, fungsi dan mandat diberikan dengan cemerlang.
"Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan saya kepada mantan Menteri Pertahanan (Mohamad) atas kepimpinan beliau menerajui kementerian ini.
"Saya berharap semua warga ATM dan kementerian dapat melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan lebih baik pada tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!