Peniaga keropok mengaku tak bersalah pindah harta curi

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga keropok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memindahkan harta curi.

Teo Kok Chye, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memindahkan harta curi iaitu mengambil dan menjual minyak yang diselewengkan dari kapal Alkahfi Chief yang mana diketahui adalah sebagai harta curi sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM97,600.

Kesalahan itu dilakukan di sekitar perairan Kuala Terengganu pada Februari 2023.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad mencadangkan mahkamah supaya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Anisha de Silva yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum atas alasan tertuduh mempunyai penyakit jantung serta melakukan banyak pembedahan selain menanggung isterinya yang kini menghidap kanser serviks.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 21 Februari depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!