Lima fokus utama Kementerian Pertahanan - Khaled
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan menggariskan lima fokus utama dalam perancangan tahun ini bagi memastikan sistem pertahanan negara bukan sahaja dalam keadaan siap-siaga tetapi dihormati kawan dan lawan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau turut menggariskan tiga strategi utama termasuk meneruskan proses pemodenan kelengkapan dan aset ketenteraan dalam fokus pertama.
"Saya mengakui betapa kelengkapan, aset dan peralatan yang kita miliki dan guna bukan saja mesti mencukupi tetapi harus berfungsi seiring dengan perkembangan serta kecanggihan teknologi semasa.
"Kelengkapan dan aset yang canggih dan mencukupi ialah sesuatu yang tidak boleh dikompromikan dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara," katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2024, Menteri Pertahanan di sini, pada Selasa.
Mohamed Khaled berkata, biarpun kini peruntukan pertahanan yang diperoleh sudah mencecah satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, jumlah ini mesti sentiasa disemak dan ditambah baik.
"Pada masa ini antara projek perolehan aset strategik yang dirancang adalah pesawat rondaan maritim, 136 unit kereta perisai pantas (High Mobility Armoured Vehicle) untuk Tentera Darat, pembekalan 'Fast Interceptor Craft, Projek perolehan tiga unit Littoral Mission Ship (LMS) untuk Tentera Laut dan 12 unit helikopter baru Fasa 1 untuk Tentera Udara.
"Dua strategi lain dalam fokus pertama adalah pengukuhan keupayaan dari segi ilmu kepakaran serta kearifan dalam bidang-bidang kritikal dan membangunkan ekosistem sokongan pertahanan negara dengan memastikan industri pertahanan tempatan berkembang dan produktif," katanya.
Mengulas lanjut, fokus kedua adalah membangunkan dan mengemas kini perancangan pertahanan yang lebih terkini.
"Fokus ketiga pula memastikan kebajikan dan menerapkan pembangunan kapasiti, ia termasuk perihal kebajikan dan kemaslahatan anggota, bekas perajurit mesti sentiasa berada dalam radar perhatian kementerian dan kerajaan.
"Fokus keempat pula adalah menjadikan patriotisme sebagai benteng pertahanan terbaik negara dan fokus kelima adalah mementingkan aspek Malaysia dan keamanan sejagat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!