20 tahun guna jalan rosak, nyawa penduduk terancam
KUALA SELANGOR - Kira-kira 500 penduduk di tiga ladang iaitu Sungai Tinggi, Ladang Mary dan Ladang Sungai Minyak di Bestari Jaya terpaksa mengambil risiko melalui jalan berlubang, berlopak, berlumpur dan licin setiap hari sejak 20 tahun lalu.
Seorang penduduk, P Nagamal, 57, berkata, kerosakan jalan itu seolah-olah tiada jalan penyelesaian meskipun berkali-kali aduan diajukan kepada pihak bertanggungjawab.
Menurutnya, beberapa kali kemalangan turut berlaku di laluan sepanjang 18 kilometer itu termasuk kejadian meragut nyawa anak lelakinya empat tahun lalu.
"Keadaan jalan licin dan berlubang serta tiada lampu jalan ini telah meragut nyawa anak lelaki saya selepas merempuh pokok kelapa sawit semasa dalam perjalanan pulang ke rumah pada lewat petang.
"Kejadian ini melibatkan kehilangan ahli keluarga dan kita tidak mahu ada penduduk mengalami nasib sama seperti yang telah saya lalui," kata ibu kepada 11 anak itu ketika ditemui pada Isnin.
Nagamal memberitahu, masalah itu juga menyebabkan lebih 150 pelajar yang menetap di tiga ladang itu sukar untuk ke sekolah menengah dan menjalani urusan seharian.
"Isu keciciran menjadi masalah utama kepada penduduk di sini kerana mereka tiada kenderaan selain terpaksa menempuh perjalanan berbukit yang licin dan rosak.
"Selain itu, kami terpaksa menyewa kereta RM60 setiap kali ingin keluar dari ladang untuk ke pekan Bestari Jaya membeli barang keperluan," jelasnya.
K Logambah, 40, penduduk di ladang itu sudah puas bersabar kerana bukan sahaja terpaksa berdepan masalah jalan rosak bahkan beberapa isu infrastruktur lain.
Katanya, dia yang masih bujang dan hanya tinggal berdua bersama seorang kakaknya rimas setiap kali banjir melanda kediamannya yang berada di kawasan rendah setiap kali hujan lebat.
"Saya tidak tahu sampai bila masalah ini berterusan dan kalau boleh kita mahu ada sistem perparitan lebih sistematik," jelasnya.
Seorang lagi penduduk, R Murugis, 69, berkata, penduduk juga dalam dilema mengenangkan nasib mereka yang tiada tempat tinggal selepas bersara.
Ujarnya, rata-rata pekerja ladang yang bersara tidak memiliki rumah dan keadaan itu menyukarkan mereka untuk berpindah dalam keadaan usia yang sudah tua.
"Ke mana hala tuju kami selepas bersara?. Jika anak-anak masih bekerja ladang, bolehlah kami menumpang di sini, tetapi bagaimana jika tiada yang bekerja," soalnya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh dan Pegawai Penasihat Dasar kepada Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, R Ananthan turut menghadiri sesi dialog dan perjumpaan bersama penduduk di kampung berkenaan.
Nurul Syazwani berkata, masalah membelenggu penduduk itu perlu ditangani secara menyeluruh dan beliau bersedia bekerjasama dengan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu.
"Walaupun saya ADUN pembangkang, tetapi kita dapat lihat kesungguhan pihak Exco untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk di tiga ladang ini tanpa mengira ideologi politik," jelas beliau.
Sementara itu, Ananthan memberitahu, satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada Februari depan.
Jelas beliau, mesyuarat itu akan dipengerusikan sendiri oleh Papparaidu yang turut dihadiri oleh Syazwani, pengurusan ladang, jawatankuasa dan wakil penduduk.
"Kita hendak selesaikan masalah ini secara berhemah dan harmoni demi kepentingan penduduk di kawasan ini.
"Kita berharap dapat duduk semeja dan membuat keputusan terbaik dan tidak hanya membiarkan masalah ini berterusan," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!