Konsultan perniagaan mengaku tidak bersalah guna nama kerabat diraja

Tertuduh (dua dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Selasa.
Tertuduh (dua dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang konsultan perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Selasa atas pertuduhan memuat naik iklan perasmian kedai emas oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan lsmail Petra tanpa kebenaran pada 16 Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Khuzaimi Zamsani, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama dua lagi yang sudah dituduh iaitu, Aznizan Yusof, 47, dan Nor Asri Che Husin, 43, menggunakan aplikasi Facebook secara sedar dengan mewujudkan dan memulakan penghantaran iklan perasmian sebuah kedai emas kononnya akan dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Kelantan yang diketahui adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Pasir Kota dekat sini pada jam 6.55 petang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan.

Bagaimanapun, peguambela tertuduh, Mohd taufikrullah Rosli, memohon ikat jamin dikurangkan berikutan anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM4,000 sebulan dan perlu menanggung ibu bapa yang tua serta uzur.

Mohd Taufikrullah turut memberitahu mahkamah, tertuduh yang masih bujang membiayai pengajian adiknya yang masih belajar di sebuah pusat pengajian tinggi.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gong Badak, Kuala Terengganu sekali setiap bulan.

Hakim menetapkan menetapkan 14 Februari untuk tarikh serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!