Ibu sebak terima penghargaan siswazah cemerlang arwah anak
SEREMBAN - Tiada ungkapan mampu dilafazkan seorang ibu ketika menerima penghargaan mewakili Allahyarham anak sulungnya pada Majlis Penghargaan Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Siri 1 Negeri Sembilan di sini hari ini.
Masriza Abd Rahman, 49, mewakili Allahyarham Farra Wahida Ibrashid, 25, yang menghidap penyakit talasemia telah meninggal dunia pada 20 Januari 2023 merupakan siswazah cemerlang Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (kepujian) Pemasaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau berkata, Farra Wahida merupakan anak sulung daripada enam beradik telah menghidap penyakit itu sejak berusia tiga tahun, namun mempunyai semangat yang kuat untuk meneruskan pembelajaran walaupun terpaksa berulang-alik ke hospital menerima rawatan.
"Allahyarham merupakan contoh kepada adik-beradik lain, dia bercita-cita mahu menjadi seorang pensyarah, dia seorang yang cekal dan kuat walaupun pembelajaran terganggu akibat penyakitnya.
"Dia seorang anak yang rajin, Farra Wahida tetap meraih anugerah dekan setiap semester walaupun ada ketika dia sakit.
"Saya sangat terharu, arwah tetap berjasa kepada keluarga sehingga saat ini dengan menerima duit penghargaan ini, terima kasih saya ucapkan,” katanya kepada pemberita.
Pada majlis anjuran Yayasan Negeri Sembilan (YNS) itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyampaikan penghargaan kepada 152 siswazah yang meraih keputusan cemerlang di universiti masing-masing menerima RM5,000 setiap seorang berserta sijil.
Aminuddin berkata, sejumlah RM760,000 diperuntukkan sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada siswazah cemerlang di negeri ini.
"Alhamdulillah, tradisi penting ini dapat diteruskan pada penggal kedua saya memerintah negeri ini di bawah Kerajaan Perpaduan.
"Menerusi belanjawan tahun ini juga, YNS menyediakan pinjaman pendidikan kepada siswazah yang hendak menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan PhD (Doktor Falsafah).
"Sekiranya ada yang dalam proses menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, datanglah ke YNS, mereka dapat membantu,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!