Isu makanan tiba lewat di PPS dipandang serius - Exco Johor

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Norlizah
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Norlizah
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri memandang serius kelewatan makanan tiba di pusat pemindahan sementara ( PPS) yang dilaporkan berlaku di daerah ini.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh berkata, perkara itu perlu ditangani bagi mengelak kejadian sama berulang agar kebajikan mangsa banjir terus terbela.

Menurutnya, Kerajaan Johor memandang serius isu kelewatan makanan tiba di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tajul pada Isnin.

"Kelewatan itu terlalu lama kerana makan tengah hari sampai selepas jam 6 petang. Sepatutnya waktu sebegitu telah masuk makan malam sebenarnya.

"Kita kesian pada anak kecil dan warga emas kerana mereka tiada akses keluar masuk.

"Jika keluar guna kenderaan biasa, dibimbangi perkara tidak diingini berlaku kerana kebanyakan laluan masih ditenggelami air bah.

"Saya berharap selepas ini agensi terbabit sentiasa maklumkan keadaan semasa jika berlaku masalah kekurangan bekalan dan sebagainya supaya pihak lain dapat menyalurkan bantuan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau pusat bandar Kota Tinggi yang ditenggelami bah sejak tiga hari lalu.

Pada Selasa, media melaporkan seramai 224 mangsa banjir daripada 67 keluarga di PPS SJKT Tajul dekat sini terpaksa menahan lapar lebih enam jam selepas makanan tengah hari tiba lewat semalam.

Artikel Berkaitan:

Norlizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama dilaporkan berkata, makanan siap dimasak dihantar selepas pihaknya meminta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyegerakan penghantaran makanan ke PPS terbabit.

Dalam pada itu, Norlizah berkata, pihaknya memahami akan berlaku insiden luar jangka termasuk kelewatan jika bencana besar berlaku.

"Namun tempoh kelewatan sehingga enam jam itu tidak wajar berlaku terutama membabitkan bekalan makanan mangsa banjir," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!