'Allahyarham tetap berjasa walaupun sudah tiada' - Ibu

Masriza (tiga dari kiri) ketika menerima anugerah mewakili Allahyarham anaknya yang disampaikan Aminuddin (tiga kanan).
Masriza (tiga dari kiri) ketika menerima anugerah mewakili Allahyarham anaknya yang disampaikan Aminuddin (tiga kanan).
A
A
A

SEREMBAN - Seorang ibu tidak dapat menahan sebak apabila Allahyarham anak sulungnya menerima penghargaan dalam Majlis Penghargaan Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Siri 1 Negeri Sembilan dekat sini pada Selasa.

Wanita berkenaan, Masriza Abd Rahman, 49, mewakili Allahyarham Farra Wahida Ibrashid, 25, yang menghidap penyakit talasemia meninggal dunia pada 20 Januari tahun lalu, merupakan siswazah cemerlang Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (kepujian) Pemasaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurutnya, anak sulung daripada enam beradik itu disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak berusia tiga tahun.

Bagaimanapun akuinya, Farra Wahida mempunyai semangat yang kuat untuk meneruskan pengajian walaupun terpaksa berulang-alik ke hospital menerima rawatan.

"Allahyarham bercita-cita nak jadi pensyarah malah dalam keadaan tidak mengizinkan akibat sakit dialami dia tetap cekal dan rajin meneruskan pengajian, arwah contoh kepada adik-adiknya.

"Setiap semester juga arwah meraih anugerah dekan. Saya sangat terharu, arwah tetap berjasa kepada keluarga sehingga saat ini dengan menerima duit penghargaan ini, terima kasih saya ucapkan,” katanya kepada pemberita.

Majlis anjuran Yayasan Negeri Sembilan (YNS) itu, Menteri Besar Negeri Sembilan,Datuk Seri Aminuddin Harun menyampaikan penghargaan kepada 152 siswazah yang mendapat keputusan cemerlang di universiti masing-masing menerima RM5,000 setiap seorang berserta sijil.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sejumlah RM760,000 diperuntukkan sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada siswazah cemerlang di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, tradisi penting ini dapat diteruskan pada penggal kedua saya memerintah negeri ini di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Menerusi belanjawan tahun ini juga, YNS menyediakan pinjaman pendidikan kepada siswazah yang hendak menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan PhD (Doktor Falsafah). Sekiranya ada yang dalam proses menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, datanglah ke YNS, mereka dapat membantu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!