Ringgit menonjol tahun ini selepas cecah paras 4.0 berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka menjadi salah satu mata wang yang berprestasi cemerlang di rantau ini pada 2024 jika ia mengakhiri tahun ini pada paras RM4.40 berbanding dolar AS, kata Affin Group.

Ketua Ekonomi Affin Group, Alan Tan Chew Leong berkata, ringgit akan melonjak susulan prospek penurunan kadar faedah di peringkat global termasuk lebihan akaun semasa negara serta disiplin fiskal yang kukuh dan inflasi yang lebih rendah di dalam negara.

"Ringgit agak lemah pada 2023 berbanding mata wang serantau seperti rupiah Indonesia, baht Thailand, peso Filipina, yen Jepun dan renminbi China.

"Bagaimanapun, disebabkan pemulihan ekonomi yang akan menjadi lebih mantap pada 2024, kita menjangkakan ringgit dan yen meningkat tahun ini,” katanya pada taklimat media mengenai pembentangan "Makro dan Tinjauan Pasaran 2024” bank itu di sini hari ini.

Alan berkata, kenaikan ringgit akan ditentukan pasaran apabila sentimen pelabur bertambah baik di tengah-tengah pengukuhan asas ekonomi negara dengan kemungkinan penilaian yang lebih unggul daripada agensi penarafan kedaulatan.

Jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan terus menyokong ringgit, tambahnya.

"Sejak dua tahun kebelakangan ini, kita telah melihat (peluasan) perbezaan kadar faedah serantau, dengan AS menunjukkan arah aliran lebih tinggi, oleh itu aliran keluar modal kembali kepada aset yang dikuasai AS.

"Kemungkinan besar, mulai separuh kedua 2024, Rizab Persekutuan AS akan menormalkan atau mengurangkan kadar faedah, manakala bank pusat utama di rantau ini mengekalkan kadar, (jadi) kita akan melihat semula, lebih banyak aliran masuk modal ke rantau ini. Ini akan membantu merangsang sentimen positif untuk ringgit...kita akan melihat trend yang sama bukan sahaja ke atas ringgit tetapi juga dalam mata wang serantau,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tan meramalkan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia tidak berubah sepanjang tahun ini memandangkan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi di AS, dengan Rizab Persekutuan mula mengurangkan kadar utama sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat September, diikuti dengan lebih banyak pemotongan menjelang November dan Disember iaitu sebanyak 50 mata asas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!