New South Wales isytihar darurat

Seorang anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kawasan kediaman di Central Coast, kira-kira 110km dari Sydney. - Foto AFP
Seorang anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kawasan kediaman di Central Coast, kira-kira 110km dari Sydney. - Foto AFP
A
A
A

SYDNEY - Negeri New South Wales (NSW) di Australia diisytiharkan darurat dan bakal memulakan pemindahan secara paksa dari kawasan dilanda kebakaran.

Perdana Menteri, Gladys Berejiklian berkata, perintah itu akan berkuat kuasa pada jam 8 pagi (waktu tempatan) esok dan berlangsung selama seminggu.

Menurutnya, pihak berkuasa akan menutup jalan raya dan melakukan apa sahaja cara bagi memastikan keselamatan penduduk di negeri itu.

"Perintah darurat akan membolehkan pemindahan paksa dilakukan bermula esok.

"Kami mahu memastikan setiap langkah berjaga-jaga dilaksanakan sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang perkara buruk yang bakal berlaku pada Sabtu.

Sementara itu, Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW telah mewujudkan zon cuti pelancongan dari bandar pantai Batemans Bay sehingga ke sempadan Victoria.

Semua pelancong juga digesa meninggalkan kawasan berkenaan sebelum Sabtu memandangkan suhu bakal mencecah lebih 40 darjah celsius dengan keadaan kering dan angin kencang dijangka memburukkan lagi kebakaran yang telah berlarutan selama beberapa bulan.

Antara rumah yang musnah dalam kebakaran di NSW. - Foto AFP
Antara rumah yang musnah dalam kebakaran di NSW. - Foto AFP

Artikel Berkaitan:

"Keadaan itu akan menjadi sangat bahaya. Jangan berada di kawasan tersebut esok," menurut bomba.

Kebakaran pada musim ini turut menyaksikan ramai penduduk dan pelancong menghabiskan dua malam tanpa elektrik atau telekomunikasi sebelum pihak berkuasa hari ini mengisytiharkan terdapat beberapa jalan selamat untuk digunakan.

Menteri Pengangkutan NSW, Andrew Constance menyifatkan ia sebagai pemindahan terbesar di rantau itu dengan kenderaan memenuhi sepanjang lebuh raya ke arah Sydney.

Salah seorang pemandu memberitahu, dia mengambil masa selama tiga jam hanya untuk perjalanan sejauh 50 kilometer (km).

Perkhidmatan Bomba turut memberitahu, pihaknya perlu memadamkan banyak kebakaran di negeri itu dan hanya mahu memastikan orang awam selamat.

Menurut Pesuruhjaya Darurat, Victoria Andrew Crisp, sebuah kapal besar membawa makanan, air dan 30,000 bahan bakar sedang belayar dari Melbourne ke bandar Mallacoota.

Di bandar Cann River yang terletak kira-kira 80km dari Mallacoota, penduduk diberi amaran bahawa bekalan makanan semakin berkurangan.

Selain itu, kapal amfibia yang berlepas dari Sydney bakal tiba di kawasan pantai NSW dan Victoria esok. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!