Pendekatan, penyelesaian baharu dicari selesai isu sempadan KL-Selangor

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa (kiri) ketika sesi Temu Rapat Dr Zaliha bersama warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB), pada Selasa. Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa (kiri) ketika sesi Temu Rapat Dr Zaliha bersama warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB), pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pendekatan dan penyelesaian baharu akan dicari bagi mengatasi isu persempadanan kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung perkara berkenaan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

"Terdapat 26 kawasan pertindanan melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang dikenal pasti.

"Duduk berbincang dan mencari penyelesaian bersama adalah yang terbaik bagi menyelesaikan isu ini," katanya kepada pemberita selepas Sesi Temu Rapat Dr Zaliha bersama warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Dr Zaliha berkata, antara permasalahan yang timbul dan menjadi aduan susulan isu persempadanan itu berkaitan bayaran cukai taksiran dan penyelenggaraan kawasan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyebabkan kesukaran kepada masyarakat.

Terdahulu, Dr Zaliha menghadiri sesi temu rapat selama 90 minit bersama 218 peserta termasuk wakil Majlis Perwakilan Penduduk untuk mendengar permasalahan dihadapi warga kota.

Antara isu dan persoalan yang dibangkitkan dalam sesi itu ialah pelaksanaan bandar raya pintar, masalah longkang dan saliran, kesesakan lalu lintas serta parkir.

"Isu berkaitan polisi akan kita beri perhatian lebih mendalam dan perlu dilihat secara menyeluruh serta bersepadu bersama kementerian dan agensi lain," katanya yang bercadang mengadakan perjumpaan secara berkala bersama Ahli-ahli Parlimen di ibu kota.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata, pihaknya masih meneliti pengisian program sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50 pada 1 Februari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!