Empat anggota polis ditahan disyaki terlibat jenayah peras ugut
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat anggotanya dipercayai terlibat jenayah peras ugut di hadapan Kompleks Pangsapuri di Kepong, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian pemerasan melibatkan anggota polis pada jam 2.55 petang, Khamis.
"Susulan itu, polis menahan empat anggotanya berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Allaudeen berkata, pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Kuala Lumpur turut menjalankan siasatan berhubung keengganan anggota polis menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian pemerasan berkenaan.
Tegasnya, PDRM memandang serius perbuatan enggan menerima laporan polis dan tindakan tegas akan diambil ke atas anggota yang berbuat demikian.
Jelas beliau, kes tersebut masih dalam siasatan dan pihaknya tidak akan melindungi individu termasuk pegawainya sendiri yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang.
"Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!