Bank Rakyat perkasa budaya tanpa tunai penduduk luar bandar
SHAH ALAM - Bank Rakyat terus memperkasakan budaya tanpa tunai dalam kalangan masyarakat luar bandar dengan penggunaan perkhidmatan e-perbankan dan e-pembayaran melalui penganjuran program digital desa.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha berterusan dalam mentransformasikan ekonomi digital di kawasan luar bandar.
Menurutnya, ia memperkasakan masyarakat setempat termasuk peniaga untuk menerima dan menyesuaikan aktiviti pendigitalan dalam urusan perniagaan serta kehidupan seharian.
“Program ini diadakan bagi menyediakan penyelesaian kewangan digital yang mampan dan inklusif kepada masyarakat luar bandar termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ia untuk mengadaptasikan penggunaan perkhidmatan perbankan dan pembayaran elektronik seperti DuitNow QR dan MyDebit dalam operasi perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan sempena penganjuran Program Digital Desa di Kampung Taginambur, Kota Belud, Sabah pada Selasa.
Program tersebut turut memanfaatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang yang membuka Akaun Simpanan-i melalui platform BRICK.
Selain itu, turut dilaksanakan pembukaan Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) serta pendaftaran aplikasi i-MerchantRAKYAT dalam kalangan penjaja.
Mengulas lanjut, Mohammad Hanis berkata, i-MerchantRAKYAT yang dilengkapi DuitNow QR itu dilancarkan sebagai kemudahan khusus untuk usahawan PMKS serta operasi membolehkan penerimaan bayaran melalui kod QR.
“Aplikasi ini diperkenalkan kepada pelanggan sejak 31 Oktober tahun lalu dan telah mencapai sebanyak 2,000 pendaftaran setakat ini.
“Ia bukan sahaja menjimatkan dan boleh digunakan di mana-mana sahaja, tetapi mampu meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan serta kewangan agar lebih efisien,” jelas beliau.
Sementara itu, tambahnya, inisiatif tersebut sejajar dengan saranan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mempercepatkan penggunaan transaksi tanpa tunai yang membawa kepada peningkatan keterangkuman kewangan dalam masyarakat.
Katanya, Bank Rakyat sentiasa meneroka peluang baharu untuk membantu mencapai keperluan dan jangkaan masyarakat di desa menerusi pelbagai inisiatif dan perkhidmatan.
“Ia bertepatan dengan nilai kesejahteraan Malaysia Madani untuk bersama-sama menikmati kemakmuran digital selaras keperluan semasa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!