Strategi Soon Huat-Shevon Lai tukar corak permainan menjadi
BEREGU campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan ke atas pasangan England, Gregory-Jenny Mairs pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.
Pasangan yang menghuni ranking ke-15 dunia itu bermula baik pada set pertama apabila menang 21-16, namun tunduk 15-21 pada aksi seterusnya.
Mereka bagaimanapun bangkit pada set ketiga untuk mengesahkan kemenangan 21-17, biarpun pada satu ketika terikat pada kedudukan 16-16.
Soon Huat menyifatkan saingan tersebut sebagai sengit kerana dalam set kedua mereka melakukan beberapa kesilapan sehingga memberi kemenangan pada kepada lawan.
Beliau berkata, atas semangat melawan dan sokongan sesama sendiri, akhirnya kemenangan berpihak mereka.
"Pada set kedua ada banyak kesilapan sehingga saya berasa geram. Namun kami saling beri sokongan. Jurulatih juga minta tukar corak permainan dan dapat kawal semula permainan dengan baik.
"Lawan juga nampak semakin yakin pada set ketiga, namun kita cuba beri tekanan dan bangkit dengan lebih berani. Akhirnya kami menang," ujar Soon Huat.
Menanti mereka pada pusingan kedua ialah pemenang antara pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai atau Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!