Langkah Dubai: Polis buka kertas siasatan

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 43 laporan daripada wakil parti politik berhubung gerakan 'Langkah Dubai' yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan berhubung kes tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.

Razarudin berkata, laporan polis itu berdasarkan tular rakaman video tiga atau empat orang berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

"Kita turut mengesan video Raja Petra Kamaruddin yang bercakap berkaitan perkara (Langkah Dubai) itu lebih daripada 10 hari tentang kerajaan hendak jatuh.

"Kami sedang menyiasat video tular yang menyaksikan tiga atau empat individu bercakap tentang menukar kerajaan," katanya.

Beliau berkata, susulan penularan video itu pihak polis perlu menyiasat melakukan siasatan kerana perkara ini mendatangkan kegusaran kepada masyarakat dan mengganggu ketenteraman awam.

Artikel Berkaitan:

“Dulu kita pernah melalui perubahan dalam kerajaan, di mana seorang pemimpin parti akan membawa senarai nama kepada Yang di-Pertuan Agong. Kali ini, hanya spekulasi tidak berasas lebih 10 hari sehingga menimbulkan keresahan orang ramai.

“Oleh itu, kita perlu menyiasat perkara itu sebelum keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa beberapa ahli Parlimen dibayar untuk menyokong pertukaran kerajaan, Razarudin berkata polis akan menyiasat perkara berkenaan.

“Sekiranya kita dapati unsur sedemikian, kita akan merujuknya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan individu seperti Chegubard dan Papagomo akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Kami tidak menolak kemungkinan mereka akan dipanggil dalam masa terdekat," katanya.

Mengulas mengenai situasi dalam negara berhubung dakwaan itu, Razarudin memberi jaminan bahawa situasi negara tetap kekal aman.

“Rakyat bersemangat dengan keadaan kita yang aman dan keadaan terkawal.

“Bagi pihak polis, kita akan pastikan keselamatan dan keselamatan semua,” katanya.

Pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Ismail Yusop, dilaporkan mendakwa 'Langkah Dubai' timbul ketika percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!