Zii Jia gagal hapus badi Terbuka Malaysia
IMPIAN pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Terbuka Malaysia 2024 tidak kesampaian setelah terkandas pada pusingan pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.
Pemain yang menghuni ranking ke-11 dunia itu tewas kepada pemain China, Lu Guang Zu 16-21, 21-19, 21-15 dalam tempoh lebih sejam permainan.
Kekalahan tersebut menyaksikan badi kekalahannya dalam saingan awal Terbuka Malaysia berlarutan empat kali berturut-turut selepas turut mengalami nasib sama pada edisi 2019, 2022 dan 2023.
Bekas juara Seluruh England itu mengakui sudah bosan apabila kerap mengalami kekalahan tetapi pada masa sama enggan berputus asa untuk bergelar sebagai juara.
"Saya pun benci setiap kali keluar daripada perlawanan (kalah) perlu jawab dengan mengatakan akan cuba lagi.'Comeback stronger' (bangkit semula), sudah bosan, hari-hari cakap perkara yang sama.
"Namun, dalam diri saya kekal positif dan tidak akan berputus asa. Setiap hari saya tetap tunjuk muka untuk berlatih dan mengikut setiap arahan jurulatih.
"Ini adalah sebahagian daripada proses, mungkin sampai saya bersara pun saya tidak dapat cari cara itu. Namun, saya tidak akan berputus asa dan terus bersabar.
"Saya tidak tahu bila, mungkin boleh berdiri di sini yang saya sudah menang, sudah jadi juara dan saya sangat yakin. Saya harap suatu hari nanti saya boleh berkata demikian, tidak kiralah dalam kejohanan mana sekalipun," katanya ketika ditemui media selepas tamat perlawanan.
Zia Jia turut mengakui kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan sendiri biarpun sudah mengerah segala kudrat mengikut perancangan jurulatih, Wong Tat Meng.
"Kalau berlatih banyak tapi tak keluarkan semua pun tak bagus. Ia bukan alasan (kalah) jadi saya perlu keluarkan lebih lagi pada kejohanan akan datang," katanya.
Selepas ini Zia Jia akan mengalih fokus kepada Terbuka India di New Delhi dari 16 hingga 21 Januari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!