Legasi Maszlee dalam pendidikan negara

Dr Maszlee beredar dari sidang media selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan selepas 20 bulan mengemudi kementerian tersebut. -Foto Bernama
Dr Maszlee beredar dari sidang media selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan selepas 20 bulan mengemudi kementerian tersebut. -Foto Bernama
A
A
A

KHABAR angin yang mengatakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan terjawab semalam apabila beliau mengumumkan meletakkan jawatan sebagai menteri, berkuat kuasa hari ini.

Ahli Parlimen Simpang Rengam daripada parti Bersatu itu membuat keputusan tersebut selepas bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang beliau sifatkan sebagai seorang ayahanda.

"Saya dengan reda hati walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.

Maszlee merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum menyertai Bersatu beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam tempoh 20 bulan sebagai Menteri Pendidikan, banyak pencapaiaan yang bukan biasa-biasa telah dilakukan oleh bekas pensyarah itu walaupun sering menjadi sasaran kritikan pembangkang dan rakyat.

Beliau dilabel 'Menteri Kasut Hitam' apabila melaksanakan peraturan menggunakan kasut hitam bagi menggantikan kasut putih bermula sesi persekolahan 2019, sedangkan itulah permintaan ibu bapa yang sebelum ini terpaksa membasuh kasut anak-anak setiap minggu.

Keputusan dan pendirian beliau juga sering menjadi sensasi yang mewarnai media massa bahkan menyebabkan krisis dalam kalangan pemimpin kerajaan antaranya membabitkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan sarapan percuma.

Banyak isu sensitif dan sengaja diperbesarkan lebih menjadi pilihan utama, seolah-olah Maszlee menteri yang menimbulkan banyak krisis dalam pendidikan termasuklah juga pelantikannya sebagai Presiden UIAM, pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahun Empat dan isu pemberian tender di sekolah.

Artikel Berkaitan:

Sebelum mengumumkan keputusannya itu, Maszlee terdahulu memaklumkan pencapaian Kementerian Pendidikan sejak menerajui kementerian itu pada Mei 2018.

Antaranya bacaan semula Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), pemerkasaan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan dasar inklusif untuk Murid Berkeperluan Khas, warga B40, anak tiada dokumen dan dasar sifar cicir yang memberi makna baharu kepada ratusan ribu murid di seluruh negara.

Sejak 2018, kementerian itu bersikap telus dengan segala inisiatif dan usaha reformasi pendidikan, selain menjadi kementerian pertama yang membentangkan laporan 100 hari Pakatan Harapan, diikuti kad laporan prestasi setahun (Jun 2018 - Jun 2019) dan kad laporan untuk 2019.

Di bawah beliau juga Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan sebanyak RM68.1 juta biasiswa untuk pelajar B40 ini. Maszlee mahu semua pelajar miskin di negara ini dapat pendidikan sama macam orang lain.

Sebelum ini, Dr Mahathir membayangkan untuk mempertimbangkan rombakan Kabinet susulan kekalahan besar PH dalam PRK Tanjung Piai November lalu, dan ia mungkin akan melibatkan beberapa menteri.

Dengan peletakan jawatan Maszlee ini, sudah tentu akan mempercepatkan lagi rombakan itu. Sudah tentu rakyat berharap jawatan itu diberi kepada pemimpin yang berkalibet dan lebih hebat kerana Kementerian Pendidikan sangat penting terutama dalam memartabatkan sistem pendidikan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!