Biar rasa was-was, asalkan tak kena scam

Mangsa dipilih secara rawak sebelum diarahkan untuk membuat pindahan wang bagi tujuan semakan sama ada dia terlibat dalam sindiket itu atau sebaliknya. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Norawazni Yusof Wartawan Sinar Harian Pahang)
Mangsa dipilih secara rawak sebelum diarahkan untuk membuat pindahan wang bagi tujuan semakan sama ada dia terlibat dalam sindiket itu atau sebaliknya. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Norawazni Yusof Wartawan Sinar Harian Pahang)
A
A
A

SUDAH bertahun-tahun aktiviti jenayah penipuan yang dilakukan scammer wujud di negara ini. Bahkan saban hari kita dihidangkan laporan berita rakyat Malaysia menjadi mangsa.

Mereka yang menjadi mangsa scammer bukan orang-orang biasa. Bukan sahaja pesara, tukang rumah, pekebun atau suri rumah, malah golongan profesional seperti guru dan arkitek tidak terkecuali boleh terperdaya dengan sindiket berkenaan.

Lebih menyedihkan, jumlah kerugian bukan setakat ribuan ringgit, malah ada mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit. Dalam erti kata lain, semua wang simpanan lesap sekelip mata akibat terlalu percaya dengan pujukan atau janji scammer.

Dalam kejadian terbaharu di Johor Bahru kelmarin, seorang kerani sebuah syarikat swasta ‘berputih mata’ apabila duit simpanan lebih RM1.08 juta dikebas scammer.

Begitu juga dalam kes di Kuantan, Pahang, seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang mozek kerugian RM29,000 selepas berkenalan dengan seorang janda melalui panggilan telefon dan media sosial.

Walaupun nilai kerugiannya tidak mencecah ratusan ribu ringgit, tapi mungkin simpanan itu sahaja yang ada pada mangsa untuk meneruskan kelangsungan hidup di waktu umur senja.

Secara sedar atau tidak, taktik digunakan scammer sebenarnya mudah. Pilih sahaja mana-mana mangsa secara rawak dan sekiranya ‘pancingan’ mereka tepat, maka dapatlah hasilnya.

Sampai bilakah rakyat Malaysia akan terus menjadi mangsa penipuan ini? Adakah kita kurang cerdik atau terlalu takut dengan ugutan kononnya kita terlibat dengan jenayah yang sebenarnya tidak dilakukan?

Artikel Berkaitan:

Mungkin juga kita gelap mata, kononnya boleh mendapat keuntungan berlipat kali ganda dengan hanya membuat pelaburan singkat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengkategorikan penipuan ini kepada beberapa jenis seperti Macau Scam, Love Scam, Parcel Scam atau menyamar sebagai rakan dan kenalan untuk meminjam wang.

Walaupun banyak maklumat dan nasihat disalurkan pihak berkuasa kepada orang ramai, termasuk paparan kes-kes penipuan di media massa, namun kes seumpama ini terus meningkat dan saban hari semakin menjadi-jadi.

Timbul persoalan, kenapa masih ada lagi masyarakat yang tidak mengambil peringatan atau iktibar daripada kejadian itu?

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sebelum ini mendedahkan, kes jenayah penipuan kewangan meningkat sebanyak 37 peratus kepada 32,366 kes dalam tempoh Januari hingga November tahun 2023, berbanding tempoh sama tahun 2022 yang merekodkan 23,608 kes.

Kaji selidik firma penyelidikan pasaran Ipsos Malaysia dalam tinjauannya pula turut mendapati tiga perempat daripada penduduk Malaysia menjadi sasaran penipuan dan peningkatan dalam suku tahun terakhir.

Melihat angka ini, penulis merasakan masyarakat kita perlu membuang jauh sikap ambil mudah kerana ia sebenarnya adalah ancaman kepada berlakunya penipuan.

Mungkin ada yang berkata, cakap senanglah, tak kena atas batang hidung sendiri. Kalau kena baru tahu langit tinggi atau rendah.

Penulis berpandangan tidak salah kalau setiap orang mempunyai sikap was-was dengan identiti pemanggil serta berada dalam keadaan sentiasa waras ketika menerima panggilan telefon.

Selain itu, setiap individu perlu memainkan peranan saling menasihat dan memberi kesedaran berhubung penipuan scammer ini terutama kepada keluarga dan rakan-rakan.

Mungkin ada yang berpandangan tidak seharusnya melayani sikap was-was kerana ia akan menyebabkan ‘semua perkara tak jadi’.Itu betul, namun dalam konteks dunia hari ini yang terdedah dengan pelbagai penipuan, sifat tersebut adalah penyelamat.

Bayangkan, kalau duit kita simpan bertahun-tahun lamanya itu tiba-tiba lesap sekelip mata, apa lagi yang dapat dilakukan untuk mendapatkannya semula.

Sudah tentu kita hanya mampu ‘menepuk dahi’ kerana tersedar rupa-rupanya telah ditipu.

*Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Pahang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!