Ada parti lain minat gabung dengan UMNO Sabah - Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendedahkan memang ada parti lain berminat untuk bergabung dengan UMNO Sabah.

Bagaimanapun katanya, UMNO Sabah akan mengambil langkah untuk memperkukuhkan parti di semua peringkat terlebih dahulu sebelum memikirkan soal kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu lagi, Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menjelaskan soal gabungan dengan parti lain hanya akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.

"Kita tunggulah selepas pembubaran dan UMNO Sabah mengakui memang ada parti lain yang berminat untuk bergabung bersama UMNO.

"Tetapi semua ini akan kita muktamadkan selepas DUN Sabah bubar dan bergantung kepada persefahaman, kesetiaan dan keikhlasan untuk memperjuangan masa depan rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataannya itu bagi merujuk isu kerjasama bersama gabungan parti lain dalam menghadapi PRN akan datang selain dikaitkan dengan isu pergolakan UMNO Sabah.

Katanya lagi, bagi mengukuhkan parti, mereka akan mengadakan siri jelajah UMNO ke seluruh bahagian Sabah bermula awal Febuari ini.

"Kita bagi keutamaan terlebih dahulu soal kekuatan parti. Siri jelajah ini akan memantau dan melihat sendiri kekuatan parti dari segi persediaan di samping menjelaskan isu semasa kepada ahli di peringkat akar umbi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah mengalu-alukan soal kerjasama bersama parti gabungan lain bersandarkan kepada prinsip menghormati perjanjian satu sama lain.

"Bukan saja memberikan manfaat kepada parti tapi rakyat Sabah secara keseluruhannya.

"Kita banyak belajar dari proses gabungan sebelum ini. Jadi perkara ini turut mematangkan UMNO Sabah untuk mengambil sebarang keputusan, yang penting sekarang UMNO Sabah perlu diperkuatkan," katanya.

Sementara itu, berkaitan dakwaan pergolakan UMNO Sabah yang disebarkan oleh pihak tertentu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, Ahmad Zahid sudah menjelaskan perkara itu ketika beliau ke Sabah baru-baru ini atas urusan lawatan kerja rasmi.

"Ia tiada kaitan dengan isu menyelasaikan isu pergolakan UMNO Sabah yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.

"Menjadi rutin apabila Presiden parti ke Sabah beliau akan mengambil peluang berjumpa dengan pemimpin UMNO Sabah dalam majlis ramah mesra selain membincang isu semasa terutamanya persediaan parti menghadapi PRN akan datang," ujarnya.

Bung Moktar berharap semua ahli UMNO Sabah tidak mudah percaya dengan isu pergolakan yang dicetuskan oleh pihak lain yang bertujuan untuk melemahkan kesatuan UMNO di negeri ini.

"Sebagai pemimpin dan ahli UMNO kita lebih tahu apa yang berlaku di dalam rumah kita sendiri, abaikan cakap-cakap kosong yang hanya presepsi dari luar yang tujuannya melemahkan parti.

"Tumpuan kita ialah bersatu perkuatkan jentera parti di semua peringkat," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!