Selami nasib mangsa banjir, ahli Parlimen bermalam di PPS
MARAN - "Saya ingin menyelami dan merasai sendiri nasib mereka (mangsa banjir)," kata Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari yang turut 'menemani' 41 mangsa di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Balai Raya Felda Jengka 17 di sini pada Ahad.
Menurutnya, ia pengalaman kali kedua beliau turut sama tidur di pusat berkenaan, selepas kali pertama pada tahun lepas.
"Saya kebetulan solat Maghrib di masjid di Jengka 17 dan kemudiannya dimaklumkan berlaku banjir.
"Saya ke balai raya dan seterusnya bertanyakan keperluan yang diperlukan dan meminta pegawai mendapatkan barangan seperti selimut dan makanan," katanya ketika berkongsi pengalaman tersebut kepada Sinar Harian.
Ujarnya, pelbagai aktiviti dijalankan bersama mangsa sepanjang bermalam di PPS terbabit.
"Selain berbual dan memberikan nasihat, turut dibuat kuliah Subuh sebelum keesokan paginya ke lokasi lain yang terjejas.
"Nampak mereka ceria, lebih bersemangat dan syukur segalanya berjalan lancar," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menafikan mengambil kesempatan menggunakan kemudahan yang disediakan untuk mangsa banjir, sebaliknya mendapatkan keperluan sendiri seperti makanan sepanjang bermalam di PPS terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!