Penduduk Teluk Kumbar bantah pembinaan asrama pekerja asing

Muhammad Idiris menunjukkan lakaran kawasan yang bakal dibangunkan asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar.
Muhammad Idiris menunjukkan lakaran kawasan yang bakal dibangunkan asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Penduduk sekitar Teluk Kumbar mendesak kerajaan Pulau Pinang agar tidak memberi kelulusan terhadap sebarang pembinaan asrama pekerja asing di sekitar kawasan tersebut.

Difahamkan, asrama pekerja asing setinggi 27 tingkat di atas lot tanah 1859,1860 dan 1865 di Bandar Baru Perda itu yang bakal menempatkan 7,860 penduduk itu telah diluluskan secara bersyarat oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar, Profesor Dr Muhammad Idiris Saleh berkata, penduduk di sekitar kawasan tersebut tidak mahu sebarang pembinaan melibatkan warga asing dibina di kawasan mereka kerana beberapa faktor.

Menurutnya, pembinaan asrama warga asing sepatutnya dibina berdekatan dengan kawasan perindustrian dan bukannya Teluk Kumbar yang terletak jauh daripada kawasan berkenaan.

"Sepatutnya sektor perindustrian menggunakan sistem robotik dan automotif dalam sistem kerja mereka, bukannya bergantung kepada tenaga kerja semata-mata. Bagaimanapun, sekiranya masih memerlukan tenaga kerja, asrama pekerja bukannya di sini (Teluk Kumbar) yang jauh dari kawasan perindustrian.

"Banyak lagi kawasan yang boleh difikirkan antaranya Sungai Tiram, Kampung Jawa atau pinggiran Bayan Lepas. Ini kerana, di Teluk Kumbar, kemudahan asas agak kurang, kami tiada balai bomba dan tiada klinik kesihatan.

"Jika berlaku apa-apa kecemasan, bagaimana kami di sini nak menghadapinya," katanya pada sidang akhbar di Masjid Makbul Teluk Kumbar di sini pada Rabu.

Tambahnya, antara masalah utama lain yang akan timbul sekiranya asrama pekerja asing dibina, ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang serius.

Artikel Berkaitan:

"Jika dilihat, jalan di Teluk Kumbar hanya satu dan sempit. Sekiranya asrama pekerja dibina di sini, akan ada lebih seratus bas pekerja yang akan melalui di jalan yang sama.

"Ini akan menyebabkan jalan yang sedia sesak, akan bertambah sesak. Tambahan pula, penduduk di Teluk Kumbar berjumlah 32,000 dan mereka menggunakan jalan raya yang sama," katanya.

Sebelum ini, lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi aman bagi membantah serta mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing yang dikatakan mampu memuatkan lebih 30,000 pekerja asing di kawasan tersebut.

Sementara itu, pada Selasa, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengesahkan, projek asrama pekerja asing berkapasiti 22,000 penduduk yang dikatakan akan dibina di Teluk Kumbar sebenarnya belum mengemukakan sebarang permohonan kebenaran merancang.

Kon Yeow berkata, permohonan yang diluluskan adalah projek asrama pekerja asing di Teluk Kumbar yang berkapasiti 7,000 penduduk.

Dalam pada itu, Muhammad Idiris berkata, pendirian penduduk tersebut telah disampaikan kepada Kon Yeow dalam perjumpaan di Pejabat Ketua Menteri, Komtar pada Selasa.

"Ketua Menteri mendengar keluh kesah serta hujah kami dan menyatakan akan menyemak semula kelulusan projek berkenaan berikutan ia dibuat secara bersyarat malah, Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) juga dibuat secara bersyarat.

"Ketua Menteri juga akan berbincang semula dengan pihak berkaitan dan meminta sedikit masa. Kami berterus terang dengan beliau agar (perbincangan) jangan terlalu lama kerana kami (penduduk) memang tak mahu sebarang projek asrama pekerja asing di sini," katanya.

Ditanya sama ada penduduk akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya projek itu masih diteruskan, Muhammad Idiris berkata, untuk ketika ini, penduduk mengambil langkah 'gencatan senjata' sehingga kerajaan negeri keputusan terkini dibuat.

"Kami akan terus bantah dan bantah. Jika masih gagal, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!