Dakwaan PN cuba rasuah Agong, pegawai Hamzah lapor polis

Ahmad Ikhwan (depan, tiga dari kiri) selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ahmad Ikhwan (depan, tiga dari kiri) selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Sulit Ketua Pembangkang membuat laporan polis pada Rabu susulan dakwaan fitnah yang mengaitkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong bagi menukar kerajaan sebagaimana tular di media sosial.

Ahmad Ikhwan Fadhli berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu bertujuan untuk membersihkan nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Setiausaha Agung PN yang dikaitkan dengan dakwaan terbabit.

Tegasnya, Ketua Pembangkang sama sekali tidak terlibat dalam perkara seumpama itu.

Beliau turut menyatakan rasa kesal apabila kerajaan dan kementerian tidak menyekat penyebaran fitnah yang dimuat naik oleh sebuah blog dan di media sosial apabila pautan artiket terbabit yang dimuat naik pada 8 Januari itu masih boleh diakses sehingga hari ini.

"Apa respons (maklum balas) kerajaan dan pihak terlibat dalam perkara ini yang menyentuh isu 3R (agama, bangsa, raja).

"Oleh sebab itu, saya membuat laporan polis pada hari ini supaya tindakan sewajarnya boleh diambil oleh pihak berkuasa dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Saya ingin bertanya, di mana Menteri Komunikasi dan Digital serta Menteri Undang-Undang apabila melihat perkara ini?" katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Hadir sama, Penolong Setiausaha Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Faiz Rahmad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Ikhwan berkata, fitnah melibatkan isu 3R yang tidak dibendung akan memberi implikasi besar kepada masyarakat.

Jelas beliau, persepsi orang ramai pastinya tertanya-tanya kenapa penyebaran fitnah yang dibuat itu tidak diambil tindakan atau sengaja tidak dipandang oleh pihak kerajaan.

Menurut beliau, pihak polis dan SKMM pastinya mempunyai segala kepakaran serta keupayaan dalam menjejak 'penderhaka' dalam penyebaran fitnah seumpama itu.

"Kita hendak lihat berapa lama masa yang diambil untuk menyekat atau menjejaki pemfitnah ini," ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, fitnah seumpama itu yang disebarkan di media sosial bukan kali pertama berlaku terutama kepada pihak pembangkang.

Jelasnya, ugutan dengan pelbagai cara dikenakan kepada pihak pembangkang atau ahli Parlimen yang bebas memilih siapa mahu diikuti.

"Kita di Armada bersetuju untuk membuat laporan polis di seluruh negara berhubung perkara ini terutama dalam mempertahankan integriti setiap ahli Parlimen.

"Ini bukan perkara main-main apabila sikap selective (memilih) untuk diambil tindakan dilakukan oleh pihak kerajaan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!