'Amanah ini wajib ditatang dengan penuh tanggungjawab' - Nor Hisham
SHAH ALAM - "Sesungguhnya rahmat dan anugerah Tuhan yang dipinjamkan ini adalah satu pengiktirafan yang amat disyukuri, jawatan yang diamanahkan amat mencabar dan wajib ditatang dengan penuh tanggungjawab," kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang baharu, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Katanya, kejayaan dan kegagalan adalah atas kehendak-Nya.
"Berjaya kita adalah atas kehendak-Nya, begitu juga gagal kita adalah juga kehendak-Nya.
"Namun saya percaya kelestarian doa, dorongan, bantuan dan tunjuk ajar dari sahabat, rakan sekerja, keluarga dan pihak atasan akan terus memberi impak dalam saya mencorak warna kehidupan dan perjuangan seterusnya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Nor Hisham, terima kasih atas ingatan serta ucapan kepadanya.
Pada Rabu, satu Majlis Hormat Panglima Ketua Pengarah JBPM Ke-9 diadakan di pekarangan Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya.
Majlis yang penuh bermakna itu bertujuan bagi meraikan pelantikan Nor Hisham sebagai Ketua Pengarah JBPM yang baharu.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi JBPM, pengarah-pengarah bahagian JBPM, pengarah JBPM negeri serta pegawai-pegawai kanan jabatan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan pelantikan Nor Hisham adalah bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin yang bersara wajib pada Disember lepas.
Nor Hisham pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam JBPM seperti Timbalan Ketua JBPM (Pembangunan), Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (2020-2023), Pengarah JBPM Negeri Pahang (2018-2020), Pengarah JBPM Negeri Sarawak (2011-2018) serta Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah (2009-2011).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!