Prosiding tuntut harta Jamaludin Jarjis tangguh hingga keputusan semakan selesai

Prosiding tuntutan harta sepencarian yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis terhadap empat anak dan ibu mentuanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini ditangguhkan. - Gambar fail
Prosiding tuntutan harta sepencarian yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis terhadap empat anak dan ibu mentuanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini ditangguhkan. - Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding tuntutan harta sepencarian RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, terhadap empat anak dan ibu mentuanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini ditangguhkan.

Ia susulan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada 24 November tahun lalu agar prosiding itu ditunda sementara menunggu semakan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang memutuskan kes itu perlu diteruskan dengan perbicaraan.

Peguam Syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu Jamaludin selaku defendan kelima, Aminah Abdullah, 90, berkata, Kalsom, 68, memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi itu pada Oktober tahun lalu.

"Semakan dibuat kerana ada persetujuan penyelesaian membabitkan tuntutan harta itu daripada kesemua pihak," katanya.

Nur Hidayah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas prosiding sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Abdul Shukor Abd Hamid yang berlangsung dalam kamar hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata, mahkamah menetapkan Rabu sebagai hari pertama perbicaraan.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 14 Mac untuk sebutan status semakan terbabit.

Pada 11 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan kes itu diteruskan dengan perbicaraan setelah pihak-pihak terlibat gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kalsom selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta beberapa saham syarikat tempatan pada Oktober 2018 dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan Aminah sebagai defendan pertama hingga kelima.

Pada 28 Ogos 2022, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang daripada pernyataan tuntutan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya mendiang Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Allahyarham Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, mendiang Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Allahyarham Razakan Seran serta seorang wanita dikenali sebagai mendiang Aidana Baizieva.

Artikel berkaitan: Tuntutan harta lebih RM2 bilion Jamaludin Jarjis gagal capai persetujuan

Status harta sepencarian JJ RM2 bilion belum capai penyelesaian

Status tuntutan harta RM2 bilion Jamaludin Jarjis diketahui esok

Anak Jamaluddin Jarjis gagal rayuan kes saham RM1 bilion

Tuntutan harta RM1 bilion Jamaludin Jarjis belum muktamad

Keluarga Jamaludin setuju bincang tuntutan harta RM1 bilion

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!