Peniaga didakwa menyamar sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM
KOTA KINABALU - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap dua pertuduhan menyamar, masing-masing sebagai Ketua Pesuruhjaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jun lepas.
Aries Ryan Philip Among, 29, dituduh menipu seorang individu dengan menyamar sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya sehingga mendorong individu itu untuk memasukkan RM8,000 ke dalam sebuah akaun kononnya untuk sumbangan lembu korban, pada pukul 11.46 pagi 24 Jun tahun lepas.
Dia juga didakwa menipu individu sama dengan menyamar sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sehingga mendorong mangsa memasukkan RM27,000 ke dalam sebuah akaun kononnya sebagai sumbangan untuk menghadiri konvokesyen anaknya di Sydney, Australia, dan RM14,300 ke dalam akaun lain sebagai pinjaman, pada pukul 11.22 pagi 30 Jun lepas.
Aries Ryan dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu melalui aplikasi WhatsApp di Banglow No 3, Perumahan Desa Aman, Jalan Kepayan di sini; dan berdepan tuduhan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia juga berdepan dengan dua pertuduhan alternatif menipu individu sama, dengan pertuduhan alternatif pertama memperdaya individu untuk memasukkan RM8,000 ke dalam sebuah akaun kononnya untuk sumbangan lembu korban, pada pukul 11.46 pagi 24 Jun lepas.
Bagi pertuduhan alternatif kedua Aries Ryan dituduh menipu individu sama dengan menyamar sebagai Azam sehingga mendorong mangsa memasukkan RM27,000 ke dalam sebuah akaun kononnya untuk sumbangan menghadiri konvokesyen anaknya di Sydney, Australia, dan RM14,300 ke dalam akaun lain sebagai pinjaman, pukul 11.22 pagi pada 30 Jun tahun lepas.
Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu melalui aplikasi Whatsapp di tempat sama; dan berdepan tuduhan atas Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Jason Juga kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali setiap dua bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah. Aries Ryan membayar deposit jaminan RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee dan tertuduh diwakili peguam Mohd Amirul Amin.
Hakim menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!