Menang saman, Shuib salur wang ke tabung Palestin, maafkan pemfitnah
SELEBRITI dan usahawan terkenal, Shuib menang saman fitnah terhadap pengguna media sosial, John Dihani atau nama sebenarnya Md Johan Dihani Mohd Zaidi.
Menerusi hantaran yang dibuat menerusi akaun Instagram miliknya, Shuib tampil bersama Johan Dihani buat pertama kalinya.
"Alhamdulillah, hari ini, 10 Januari 2024 selesai sudah kes fitnah terhadap diri saya dan arwah Siti Sarah Raissuddin.
"Hampir lima bulan dan hari ini semuanya sudah terjawab. Fitnah kamu John Dihani langsung tak berasas dan tak masuk akal!" tulis Shuib.
Bagaimanapun atas ikhsan dan profesional, bapa kepada empat orang cahaya mata itu memilih untuk memaafkan Johan Dihani dan menghalalkan segala fitnah yang dibuat.
Bukan itu sahaja, Shuib juga akan menyalurkan wang saman yang dibayar Johan Dihani kepada Tabung Palestin di bawah Yayasan Nurjiwa.
"Untuk saman ini, ada jumlah yang perlu dibayar. Cuma, saya tak boleh jelaskan berapa jumlah perlu dibayar.
"Saya doakan semoga awak dipermudahkan segala urusan dan semoga ini juga menjadi pengajaran pada semua supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial.
"Jangan suka-suka menabur fitnah tanpa usul periksa, Jangan jadikan fitnah satu perkara normal, ini bukan budaya orang Malaysia," ujar Shuib.
Sementara itu, Johan Dihani yang turut membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Shuib mengakui kesilapannya melemparkan fitnah tanpa bukti dan asas.
"Pada 5 Ogos 2023, saya telah membuat satu hantaran di akaun Instagram saya @john.dihani, di mana saya telah menyatakan beberapa kenyataan berunsur fitnah terhadap Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai shuib.
"Saya juga telah menyatakan beberapa kenyataan fitnah pada ruangan komen di hantaran Instagram tersebut. Saya menyatakan kenyataan fitnah dibuat tanpa bukti dan asas.
"Saya menyatakan bahawa tindakan saya untuk menyebarkan kenyataan fitnah tanpa menghiraukan kesan yang dialami oleh Shuib.
"Saya sedar bahawa penyebaran fitnah satu fenomena yang kerap berlaku dan saya buat kenyataan ini untuk menyarankan kepada mana-mana pihak untuk tidak menyebarkan fitnah kesan penyebaran fitnah boleh dilihat bukan sahaja terhadap individu, namun juga mengisar ketenteraman masyarakat di Malaysia.
"Oleh itu saya dengan ini memohon maaf kepada Shuib atas penyebaran dan penularan kenyataan fitnah yang dibuat oleh saya di dalam hantaran Instagram tersebut," ujar Johan Dihani.
Pada 4 Julai lalu, Shuib berkongsi dua tangkap layar dua pengguna media sosial yang menyebarkan fitnah kononnya terbabit dengan pertubuhan Freemason dan mendakwa isterinya, Allahyarham Siti Sarah ditidurkan secara paksa kerana ingin membuktikan risiko ibu mengandung tidak mengambil vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, seorang individu, Zulhairi Abu Othman, 35, tampil bersemuka dan membuat permohonan maaf manakala, Johan Dihani enggan berbuat demikian dan hanya membuat permohonan maaf menerusi hantaran di Instagram.
Kedegilan Johan Dihani mengundang padah apabila Shuib tekad meneruskan saman terhadap lelaki itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!