'Makcik bawang' mengeluh bawang naik harga
HARGA runcit bawang merah India yang naik melambung hingga ada yang cecah RM16 sekilogram sekarang menimbulkan rungutan pengguna.
Kalau pergi ke pasar, mungkin kita boleh tengok kaum ibu tercegat seketika merenung tanda harga bawang merah sambil terjegil mata dek harga yang terpapar, mahal berkali ganda daripada kebiasaan.
Daripada tinjauan yang dibuat media, kenaikan harga bawang merah India berlaku di Kangar, Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching dan pendek kata di seluruh negara ini.
Di Alor Setar misalnya, Sinar Harian melaporkan harga semua jenis bawang yang dijual meningkat antara 25 hingga 50 peratus sejak hujung November lalu.
Paling mahal adalah bawang merah India yang dijual pada harga RM12 sekilogram berbanding RM6 sebelumnya.
Harganya di Kangar pula RM14 sekilogram daripada harga asal RM4, iaitu naik tiga kali ganda.
Di negeri-negeri lain harga runcit sekilogram bawang merah India adalah antara RM10 hingga RM15, berbanding antara RM5 hingga RM8 sebelum ini.
Penulis juga berkesempatan mengintai harga bawang merah di pasar malam Seksyen 20 Shah Alam, baru-baru ini. Bawang merah India dijual pada harga RM8 untuk 500 gram, bermakna harganya RM16 untuk sekilogram.
Harga bawang merah India dikatakan meningkat disebabkan masalah kekurangan bekalan.
Kekurangan bekalan bawang merah India di negara ini dikesan berlaku sejak September lalu yang difahamkan disebabkan larangan eksport dikenakan India.
Tindakan itu berpunca dari penyusutan bekalan di India akibat cuaca tidak menentu, pilihan raya negara berkenaan, selain memberi tumpuan kepada keperluan rakyatnya.
Rentetan situasi disebutkan tadi, harga bawang merah India melonjak bukan biasa-biasa, tapi ia dikatakan naik paling tinggi dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Ekoran bekalan bawang merah India terhad ketika ini, peniaga turut menjual bawang kecil dari Pakistan, China dan Belanda namun kesemua jenis bawang itu juga sebenarnya turut dijual pada harga lebih mahal daripada biasa kerana pelbagai faktor.
Di media sosial, perihal harga bawang merah India naik mendadak juga hangat diperkatakan netizen termasuklah si 'makcik bawang.'
Istilah 'makcik bawang' bukanlah asing, ia cukup popular digunakan di media sosial dari hari ke hari dan dikatakan timbulnya perkataan itu pada 2017.
Istilah itu kononnya bagi menggambarkan perbuatan suka mengumpat atau mengata orang yang diilhamkan daripada perilaku golongan makcik-makcik merewang potong bawang sambil mengumpat.
Begitulah hebatnya pengaruh media sosial dalam hidup manusia sekarang, hinggakan macam-macam istilah muncul yang kadangkala agak mencuit hati.
Berbalik kepada harga bawang merah, bila media arus perdana melaporkan di platform media sosial masing-masing mengenai kenaikan harganya, 'makcik bawang' tidak terkecuali meninggalkan komen dengan segelintirnya menyalahkan kerajaan.
'Makcik bawang' juga melemparkan cadangan agar kerajaan mengambil inisiatif mengkomersialkan penanaman bawang merah di negara ini.
Bagi penulis, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana dengan tanah luas dimiliki negara, kita sepatutnya menjadi pengeluar terutama bagi bawang merah yang merupakan bahan wajib dalam masakan setiap hari.
Percubaan untuk melakukan projek penanaman bawang merah secara komersial pernah dilakukan di Mersing pada 1999 selepas berlaku krisis bekalan bawang merah dunia setahun sebelum itu.
Bagaimanapun projek itu gagal disebabkan penanamannya kurang ekonomik, serangan penyakit, harga jualan ladang tidak menguntungkan dan kos buruh tinggi.
Hakikatnya, penanaman bawang merah memerlukan kajian lebih lanjut dan teknologi baharu. Berada di gerbang 2020 sekarang, biarlah teknologi pertanian negara juga berkembang maju setanding dengan negara jiran kita, Thailand.
Sampai bila Malaysia sekadar mahu jadi negara pengguna sahaja. Selama ini kita cuma bergantung pada bekalan bawang merah yang diimport dari negara luar sahaja.
Masalah kekurangan bekalan bawang merah India dijangka pulih selepas perayaan Tahun Baharu Cina, bulan ini.
Jadi buat masa ini, sama-samalah kita berjimat cermat gunakan bawang semasa memasak. Tanpa bawang, jawabnya tak sedaplah masakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!