Dua remaja lelaki menjaring ikan ditemukan lemas
KOTA TINGGI - Dua remaja lelaki ditemukan lemas dipercayai ketika menjaring ikan di kawasan parit di Kampung Perpat Tanjung Sedili, di sini tengah hari Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku pada 12.35 tengah hari Rabu dan kedua-dua remaja itu berusia berusia 15 dan 19 tahun.
"Mayat kedua-dua mangsa ditemukan pasukan penyelamat dengan bantuan oleh orang kampung," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Dalam pada itu Hussin turut menasihatkan orang ramai menjaga keselamatan dan kesihatan mereka dengan tidak bermain air banjir.
"Tangguhkan niat untuk keluar memancing, menjala dan bermain-main air banjir di tepi sungai, longkang dan parit untuk mengelakkan musibah di kemudian hari," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!