Zolkopli Dahalan ketuai IPCC

Saifuddin pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri hari ini. Foto Bernama
Saifuddin pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zolkopli Dahalan dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi adalah bekas Lembaga Penasihat JPM, Datuk Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi.

"Tengah hari ini saya telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Cara Pelantikan melibatkan lima daripada tujuh ahli IPCC," katanya menerusi sidang akhbar khas pada Rabu.

Menurutnya, IPCC bertindak sebagai badan pemantau bebas PDRM dari aspek siasatan aduan salah laku yang melibatkan integriti pasukan tersebut.

"Penubuhan IPCC merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan persepsi atau salah faham masyarakat umum terhadap Integriti dan kredibiliti pasukan PDRM," katanya.

Ujar beliau, Akta IPCC meletakkan peranan suruhanjaya itu sebagai 'mandatory referral' yang mewajibkan pasukan polis untuk merujuk kes melibatkan jenayah seksual, cedera parah atau kematian dalam tahanan.

"Saya percaya IPCC akan meningkatkan integriti anggota polis," jelasnya.

Selain Zolkopli dan Mohamad Jazamuddin, turut dilantik menganggotai IPCC adalah bekas Pengarah Sektor Kewangan, Jabatan Audit Negara, Martina@Kartina Zamhari; bekas Timbalan Pengarah Teknikal dan Operasi, Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, Datuk Shukri Abdullah serta bekas Pengarah Kanan, Bahagian Operasi Khas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Tan Kang Sai.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai dua lagi kekosongan keanggotaan IPCC, Saifuddin menjelaskan, ia akan diisi apabila tiba masanya.

"Prosesnya adalah kita melakukan ‘head hunting’ mengenal pasti di kalangan individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan rekod tugas yang cemerlang di dalam bidang masing-masing daripada pelbagai segmen perkhidmatan.

“Walaupun slotnya tujuh tetapi lima sudah boleh kita mulakan. Maka kita luncur dan laksanakan," katanya.

Penubuhan IPCC bermula pada tahun 2020 dan penguatkuasaan Akta IPCC 2022 bermula 1 Julai 2023.

Antara peranan utama adalah menerima dan menyiasat aduan salah laku anggota dan pegawai PDRM dan mengesyorkan tindakan tata tertib kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

IPCC juga boleh memulakan siasatan sendiri tanpa rujukan daripada mana-mana pihak atas faktor kepentingan awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!