Tawkeel-MATA bekerjasama tangani penipuan umrah badal
KUALA LUMPUR - Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menjalinkan kerjasama dengan Tawkeel, sebuah syarikat teknologi terkemuka yang berpangkalan di Arab Saudi untuk memanfaatkan penyelesaian teknologi inovatif bagi mengesan dan mencegah penipuan pengendali pelancongan Umrah Badal.
Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memudahkan kerjasasama itu ditandatangani semalam (9 Januari) pada Pameran Haji dan Umrah 2024 di Jeddah, Arab Saudi.
Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun dalam satu kenyataan berkata, menerusi perkongsian ini, MATA dan Tawkeel menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem Umrah Badal yang lebih selamat dan telus untuk rakyat Malaysia.
Industri pelancongan umrah menjadi sasaran utama penipuan kerana jumlah urus niaga yang besar, terutamanya pada waktu puncak.
"Perkongsian itu akan membolehkan MATA dan ahlinya, yang terdiri daripada 400 agensi pelancongan berlesen di Malaysia, mengakses Tawkeel. Aplikasi ini memudahkan proses mewakilkan individu yang berkelayakan untuk mengerjakan Umrah Badal, bertujuan untuk membantu umat Islam yang tidak dapat menunaikan ibadah tersebut, seperti individu yang telah meninggal dunia.
"Menggunakan teknologi visual, Tawkeel juga membolehkan interaksi antara jemaah umrah dan pelanggan, bersama-sama dengan keupayaan untuk mewakilkan umrah. Platform itu sejajar dengan usaha Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan wawasan 2030 kerajaan untuk transformasi pendigitalan dalam semua perkhidmatan,” katanya.
Tawkeel menyediakan kemungkinan untuk mendokumentasikan ibadah yang sedang dilakukan dan berkongsi foto serta video dengan pelanggan. Ia boleh digunakan dalam lebih sembilan bahasa, memudahkan komunikasi antara jemaah dan pelanggan.
Mohd Khalid berkata, Tawkeel juga berkongsi visi MATA untuk memanfaatkan teknologi dan inovasi dalam membina ekosistem Umrah yang dipercayai.
"Dengan keupayaan teknologi terkini mereka, kami mempunyai penyelesaian yang cekap dalam membantu mengawal selia industri dan mencegah penipuan Umrah Badal di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tawkeel, Nabeel Zailaie melahirkan rasa gembira dapat bekerjasama dengan MATA untuk berkhidmat kepada masyarakat Islam Malaysia menunaikan Umrah Badal.
"Teknologi kami direka khusus untuk cabaran unik industri Umrah, dan kami yakin ia akan menjadi alat yang berkesan untuk MATA menguatkuasakan standard kualiti dan integriti tinggi dalam kalangan pengendali pelancongan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!