Terima setengah juta, bekas ketua syarikat insurans ditahan
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas ketua jabatan syarikat insurans kerana meminta dan menerima wang rasuah daripada pembekal perkhidmatan latihan serta perundingan.
Menurut sumber, individu berkenaan dipercayai menerima wang berjumlah RM500,000 sebagai balasan mengesyorkan pemberian kontrak kepada tiga syarikat.
Kata sumber, suspek wanita berusia sekitar 30-an itu ditahan pada Selasa jam 7.20 malam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
"Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi Rabu dan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 Januari.
"Perintah reman ke atas suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Atiqah Mohamed," katanya pada Rabu.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, dalam kes berasingan, sumber berkata, SPRM Kuala Lumpur menahan reman tiga penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM12,000 daripada sebuah syarikat berhubung kerja-kerja penurapan jalan yang tidak mengikut spesifikasi.
Katanya, perintah reman selama tujuh hari bermula Rabu sehingga 16 Januari ini terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an.
Menurutnya, reman dikeluarkan oleh Majistret Atiqah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi Rabu.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang bekerja di sebuah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) telah ditahan sekitar jam 7.45 malam Selasa ketika hadir bagi dirakam keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
"Ketiga-tiga suspek ini telah meminta dan menerima wang rasuah daripada syarikat berkenaan selepas mendapati kerja-kerja penurapan jalan yang dilaksanakan sekitar April hingga Jun 2023, namun tidak mengikut spesifikasi sebagaimana ditetapkan.
"Wang rasuah keseluruhannya sekitar RM12,000 kemudian dimasukkan ke dalam akaun peribadi ketiga-tiga suspek sebagai balasan agar kompaun tidak dikeluarkan kepada syarikat berkenaan," ujarnya.
Mohamad Fauzi ketika dihubungi turut mengesahkan penahanan terhadap ketiga-tiga suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!