Sesi debat' Anies-Prabowo belum reda

Pilpres 2024 yang menampilkan tiga pasangan capres dan cawapres pada 14 Februari ini dijangka sengit. - Foto: AFP
Pilpres 2024 yang menampilkan tiga pasangan capres dan cawapres pada 14 Februari ini dijangka sengit. - Foto: AFP
A
A
A

LAMPUNG TENGAH - Calon wakil presiden (cawapres) No. Siri Satu, Muhaimin Iskandar atau lebih dikenali sebagai Cak Imin menzahirkan rasa kurang senang selepas pasangan regunya, calon presiden (capres) Indonesia, Anies Baswedan diadukan kepada Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu).

Aduan itu dibuat selepas Anies dikatakan menyentuh tentang hak pemilikan tanah capres No. Siri Dua tersebut ketika sesi debat ketiga menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2024) yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta pada Ahad lalu.

“Forum debat itu sepatutnya dihormati semua pihak. Usah cuba raih simpati dengan cara 'playing victim'. Apa yang dibahaskan semasa sesi itu juga perlu tamat pada masa tersebut.

“Sila kemukakan data. Ayuh, kita sama-sama buktikan,” ujarnya di Lampung Tengah pada Selasa.

Bekas Gabenor Jakarta itu didakwa memfitnah Prabowo apabila beliau dengan lantang mempersoalkan bajet Kementerian Pertahanan (Kemenhan) berjumlah 700 trilion rupiah (RM208.9 bilion) dan plot tanah dimiliki beliau yang meliputi kawasan seluas 340 hektar.

Penyokong Menteri Pertahanan itu menyifatkan ia sebagai satu bentuk penghinaan ke atas beliau, sedangkan Prabowo merupakan pemimpin yang merekodkan prestasi terbaik di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Pada Isnin, Anies turut mengulas tentang kritikan dilemparkan Jokowi berhubung kelantangan beliau ketika sesi debat tersebut.

“Saya sendiri agak terkejut dengan ulasan diberikan Presiden tentang acara itu. Jadi, saya enggan memberikan sebarang komen. Biarlah orang ramai yang menilai perkara tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anies juga menafikan penilaian Jokowi yang melihat debat kontroversi itu sarat dengan serangan berbentuk peribadi.

“Semua orang membahaskan tentang dasar sektor pertahanan. Ia tiada langsung menyentuh hal personal. Anda boleh semak semula apa yang dibincangkan pada masa itu,” jelasnya.

Beliau juga tidak mahu mengulas jika kenyataan Jokowi sedikit sebanyak membantu kempen Prabowo bersama anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka yang ber-gandingan sebagai cawapres.

“Saya masih berpegang kepada prinsip beliau yang mengambil pendirian berkecuali seperti pernah dinyatakan olehnya. Ia wajar dipatuhi,” ujarnya lagi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!