Mindef bantu anggota ATM terjejas banjir
KOTA BHARU - Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang menunggu laporan penuh jumlah keseluruhan anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkesan banjir sepanjang bencana itu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setakat ini mereka menerima laporan seramai 49 anggota ATM terlibat banjir di Kelantan.
Bagaimanapun, menurut beliau kementerian itu belum menerima jumlah sepenuhnya melibatkan anggota dan pegawai di Johor.
"Kita turut menerima laporan 47 veteran di Kelantan manakala 35 di Terengganu dan sedang dalam usaha membantu mengurangkan beban mereka.
"Kami sedang membuat penilaian melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi memastikan bantuan dapat disalurkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Pasca Banjir Timbalan Menteri Pertahanan Ke Kelantan Dan Terengganu di sini pada Khamis.
Hadir sama, Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Muzamil Ali.
Tambah Adly, kementerian itu menetapkan kira-kira 18,000 anggota yang perlu bersedia dalam penugasan banjir.
"Di Kelantan baru-baru ini kita libatkan hampir 1,000 pegawai dan anggota manakala keperluan di Johor akan dipastikan dari masa ke masa berdasarkan kawasan yang terlibat," katanya.
Dalam pada itu, Azly turut memaklumkan, Kementerian Pertahanan membeli beberapa aset baharu yang bukan sahaja untuk tujuan operasi dan bencana.
Jelas beliau, penyediaan aset itu juga membolehkan ATM mengakses semua kawasan termasuk mangsa banjir di pedalaman.
Pada lawatan sama, Adly turut menyampaikan bantuan bakul rahmah kepada semua anggota ATM yang terjejas banjir selain menyantuni lima veteran ATM di kediaman mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!