Pekerja didakwa bunuh majikan
IPOH - Seorang pekerja kedai didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas pertuduhan membunuh majikannya, minggu lalu.
Tertuduh, Yap Kok Ming, 54, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Lee Siew Lean, 49 di kedai menjual aksesori telefon bimbit di Laluan Rasi Jaya 8, Taman Rasi Jaya dekat Menglembu antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, 4 Januari lalu.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat mangsa.
Sinar Harian melaporkan seorang wanita maut dipercayai ditikam pekerja dalam satu pergaduhan.
Dalam kejadian sekitar jam 10.55 pagi itu, mangsa yang juga pemilik perniagaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Difahamkan, berlaku perselisihan faham disebabkan masalah kewangan antara wanita itu dengan suspek sebelum lelaki terbabit bertindak menikam mangsa di bahagian dada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!