MBKT nafi sewa premis kepada warga asing

Rosli Latif. Foto Bernama
Rosli Latif. Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menafikan dakwaan bahawa terdapat premis perniagaan di bawah seliaannya disewakan kepada warga asing.

Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif menjelaskan pihaknya hanya mengeluarkan lesen kepada warga tempatan selain tidak membenarkan atau memberikan lesen atas nama warga asing untuk berniaga di mana-mana premis perniagaan.

Menurutnya, berdasarkan data yang ada setakat ini menunjukkan lesen yang dikeluarkan untuk lebih 1,000 premis perniagaan seliaan MBKT adalah diberikan kepada penduduk tempatan.

Bagaimanapun, beliau menyatakan tidak nafikan terdapat warga asing yang berkahwin dengan wanita tempatan untuk menggunakan lesen atas nama isteri bagi menjalankan perniagaan.

"Kita ingin tegaskan bahawa tidak ada premis milik MBKT disewakan kepada warga asing. Kita hanya berikan lesen pada warga tempatan tetapi ia disalahgunakan oleh pasangan (warga asing) untuk buka perniagaan.

"Ada kes di mana isteri (pemilik lesen) duduk di rumah manakala suami mereka (warga asing) yang menguruskan operasi di premis perniagaan tersebut.

"Mereka jalankan perniagaan dan premis itu dilesenkan atas nama isteri berstatus warganegara," katanya kepada pemberita di MBKT dekat sini.

Sebelum ini dilihat ada warga asing yang bebas berniaga di premis sekitar bandar Kuala Terengganu sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rosli memaklumkan terdapat warga tempatan yang menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan membatalkan lesen serta-merta sekiranya pemilik menyalahgunakan dengan menyewa premis perniagaan mereka kepada warga asing.

"Kita ada turun di sekitar bandar ini untuk lakukan pemantauan dan hasil pemeriksaan mendapati ada warga asing yang mengaku hanya pekerja sahaja.

"Jika terbukti disewakan kepada warga asing maka lesen niaga pemilik warga tempatan itu dibatalkan," jelasnya.

Dalam pada itu, Rosli berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan agensi lain bagi melakukan pemantauan dan operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan membabitkan warga asing di daerah ini.

Katanya, usaha itu merupakan usaha bagi membasmi masalah kebanjiran warga asing yang mengusahakan perniagaan secara haram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!