Ragu-ragu, banyak silap punca tewas - Shevon
BEREGU campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak dapat menyembunyikan kekecewaan setelah perjalanan mereka dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 tersekat pada pusingan kedua di Bukit Jalil, pada Khamis.
Dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena itu, mereka terpaksa akur tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-15, 21-12 dalam tempoh 39 minit permainan.
Kekalahan itu menjarakkan jurang kemenangan pasangan Thailand itu kepada 11 berbanding Shevon-Soon Huat tujuh.
"Saya berasa kecewa gagal mara ke peringkat seterusnya. Kami sudah cuba yang terbaik, namun pasangan lawan beraksi lebih baik," ujar Shevon kepada media sejurus tamat perlawanan.
Malah mereka turut menyalahkan diri sendiri kerana gagal memberi fokus dengan baik, selain kerap mengulangi kesilapan sekali gus memberi mata mudah buat lawan.
Shevon memberitahu, bahawa mereka saling mengetahui corak permainan masing-masing kerana pernah berlatih bersama.
Namun katanya, pada aksi itu, mereka gagal memberi saingan kepada lawan yang lebih laju dan pantas menyerang.
"Tak dapat ikut daripada segi kelajuan dan rali pun lama, jadi kerap buat silap. Saya juga banyak fikir, nak tukar taktikal, nak buat itu dan ini.
"Permulaan set kedua saya buat banyak kesilapan. Ragu-ragu dan tak steady menyebabkan aksi jadi tidak konsisten," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!