Waspada panahan penyakit ain, usah lambung pujian melampau

INDIVIDU yang terkena penyakit ain tidak semestinya datang dalam bentuk kesakitan, tetapi kadangkala mereka rasa resah gelisah tidak boleh melakukan apa-apa pekerjaan.
INDIVIDU yang terkena penyakit ain tidak semestinya datang dalam bentuk kesakitan, tetapi kadangkala mereka rasa resah gelisah tidak boleh melakukan apa-apa pekerjaan.
A
A
A

KEBANYAKAN kita mempunyai akaun media sosial. Masing-masing seronok berkongsikan perihal diri dan gambar untuk tontonan umum. Sedar atau tidak, apa sahaja yang kita kongsikan itu, ada 'mata-mata' yang akan memerhatikan.

Pada masa sama, perkongsian itu membuka ruang untuk orang lain meninggalkan komen sama ada yang baik atau buruk. Namun, ketahuilah tindakan kita itu sebenarnya boleh mengundang kepada penyakit ain jika individu yang melihatnya menyimpan bibit-bibit cemburu dalam hati.

Malah, penyakit itu boleh 'membinasakan' kita gara-gara panahan mata atau ain menerusi gambar yang dilihat di media sosial tadi. Dalam dunia realitinya, memang tidak mustahil perkara itu boleh berlaku dengan izin-NYA.

Meskipun rambut barangkali sama hitam, tetapi kita tidak punya kuasa untuk menebak hati seseorang itu. Sebab itulah kita selalu diingatkan agar menjaga pandangan masing-masing. Ia kerana dari pandangan tadi, ia boleh turun ke hati.

Apapun, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak diri daripada mangsa penyakit ain atau 'pembawa' kepada penyakit berkenaan. Ketahuilah, natijahnya bukan sembarangan.

Apakah sebenarnya penyakit ain? Bagaimana ia boleh berlaku? Bagaimana untuk mengetahui seseorang itu terkena penyakit tersebut?

Pandangan mata

Sinar Islam melontarkan segala tanda tanya itu kepada pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan.

Artikel Berkaitan:

IMAM MUDA HASSAN
IMAM MUDA HASSAN

Jelas beliau, penyakit ain disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat hasad dengki atau iri hati.

"Ia juga akibat rasa takjub terhadap apa yang dipandang walaupun tanpa sekelumit pun rasa iri hati, tidak kiralah sama ada daripada orang soleh atau orang yang dicintai sekalipun," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Imam Muda Hassan turut memetik pandangan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab Fathul Bari bahawa: "Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya."

Disebabkan itu, katanya, apabila melihat kanak-kanak comel, orang cantik dan apa-apa yang dilihat dengan pandangan mata menakjubkan, kita digalakkan untuk menyebut Masya-ALLAH, Tabarakallah.

"Ia supaya penyakit ain itu tidak menimpa ke atas kanak-kanak atau pada orang yang cantik (pada pandangan mata kita). Seperkara lagi, elakkan memuji melampau-lampau kerana dibimbangi kanak-kanak atau orang tersebut akan ditimpa kesakitan akibat pandangan mata kita.

"Bagaimanapun, penyakit ain itu termasuk dalam qada dan qadar. Bagi umat Islam, wajib bertawakal kepada ALLAH dan selalu memohon perlindungan daripada-NYA dengan ayat al-Quran, zikir dan doa yang ma’thur daripada Nabi Muhammad SAW," katanya memberi perincian.

Hantaran gambar melalui media sosial

Agamawan itu turut mengingatkan kita agar berhati-hati berkongsi cerita peribadi melalui media sosial. Masakan tidak, platform itu hakikatnya membuka ruang kepada kita terkena penyakit berbahaya itu.

BERHATI-HATILAH apabila berkongsi gambar melalui media sosial masing-masing untuk mengelakkan pandangan ain yang boleh memberi kesan kepada diri kita.
BERHATI-HATILAH apabila berkongsi gambar melalui media sosial masing-masing untuk mengelakkan pandangan ain yang boleh memberi kesan kepada diri kita.

Tambahan pula, jika kita gemar memuat naik gambar-gambar tertentu untuk tatapan orang ramai. Pendekatan seumpama itu, katanya, akan menyebabkan ramai yang akan melontarkan pujian.

"Bayangkan kecantikan wajah kita dipuji oleh ribuan, bahkan puluhan ribu orang yang melihat, maka kecenderungan untuk terkena penyakit ain semakin tinggi.

"Begitu juga apabila kita post gambar kita dengan tujuan memperlihatkan kejayaan kita. Maka orang yang melihat akan mula iri hati dan pintu kejahatan akan terbuka bagi mereka yang menyimpan dengki terhadap kejayaan itu.

"Apapun, kita kena selalu berwaspada. Kita kena selalu beringat sebab penyakit itu memang disebut dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW," katanya.

Imam Muda Hassan meneruskan perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau menyoroti kisah penyakit ain yang pernah berlaku ketika zaman Rasulullah SAW. Cerita itu ada dikisahkan dalam riwayat baginda menerusi hadis sahih al-Bukhari dan Muslim.

Diceritakan bahawa seorang sahabat, Sahl bin Hunaif terkena penyakit ain Amir bin Rabi’ah. Segalanya bermula apabila Amir melihat Sahl yang sedang mandi, lalu dipuji keindahan kulit Sahl yang seakan-akan seperti gadis. Akhirnya, Sahl jatuh sakit lalu dirawat oleh Nabi Muhammad SAW dengan cara mandian.

Katanya lagi, baginda telah berpesan pada Amir dan para sahabat supaya mendoakan keberkatan kepada orang yang kita kagumi, bukan dengan cara ‘membunuh’ saudara kita dengan puji-pujian.

"Jika terkena penyakit ain pada hari ini, maka segeralah berikhtiar dengan cara rawatan Islam yang selari dengan kehendak syarak, bukan berjumpa dengan dukun atau bomoh yang mensyirikkan ALLAH," nasihat beliau.

Bukan sihir

Sementara itu, pendakwah Ustaz Hadi Talhah menegaskan, penyakit ain tidak mempunyai kaitan dengan sihir. Al-'ain itu berpunca daripada pandangan mata.

USTAZ HADI
USTAZ HADI

Ini bermakna, seseorang yang ada sifat dengki dalam diri apabila melihat orang lain dalam keadaan itu, ia akan menyebabkan individu yang dilihatnya tadi boleh terkena penyakit ain, terang beliau.

"Penyakit itu semacam gangguan yang tidak normal bagi seseorang. Ia tidak semestinya datang dalam bentuk sakit, tetapi kadangkala individu yang terkena penyakit itu tidak boleh tidur ataupun dia merasakan dirinya resah gelisah dan sebagainya.

"Ia seperti terkena penyakit sihir juga, tetapi sebenarnya ia bukan sihir. Jika dilihat, sihir melibatkan angkara manusia dengan syaitan. Berbeza pula dengan penyakit ain. Ia akibat pandangan mata seseorang yang dengki kepada seseorang yang lain. Sebab itulah, kita kena memohon kepada ALLAH SWT agar terlindung daripada penyakit berkenaan," ujar beliau.

Rasulullah SAW bersabda: "Al-'ain itu haq (benar)." (Sahih al-Bukhari)

Kepada satu soalan, Ustaz Hadi menjelaskan: "Penyakit ain merupakan ketentuan ALLAH. Ia macam perkara agak ghaib, namun itulah realitinya. Pun begitu, kes terkena penyakit ain sebenarnya tidak banyak berlaku. Ya, mungkin ada orang hasad dan sebagainya, tetapi individu yang terkena hasad tadi tidak terkena penyakit tersebut.

"Apapun, agamawan itu mengingatkan umat Islam agar sentiasa berwaspada. Ada banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu bersifat hasad dengan individu yang lain.

"Kadangkala sifat itu ada sebab dia tidak boleh melihat kelebihan orang lain seperti kejayaan, kepandaian, kekayaan dan sebagainya. Maka, dia tidak senang duduk melihat semua kelebihan tersebut.

"Justeru, mintalah perlindungan daripada ALLAH agar terhindar daripada penyakit hasad dengki. Penyakit itu sangat berbahaya selain berdosa. Amalkanlah Surah al-Falaq, insya-ALLAH kita akan dijauhkan daripada sifat hasad dengki," ujar beliau.

Kepada mereka yang terkena penyakit ain, Ustaz Hadi yang juga pengamal perubatan Islam berkata, ia boleh dirawat dengan mengamalkan ayat ruqyah daripada al-Quran.

"Sama ada orang itu membaca ayat-ayat ruqyah sendiri atau minta tolong orang lain turut sama membacakannya, insya-ALLAH penyakit tersebut akan pulih dengan izin-NYA jika dilakukan secara istiqamah. Cuma, ia mengambil masa untuk pulih sepenuhnya," jelas beliau.

Didik diri jauh daripada sifat hasad dengki

Bagi mengelak daripada menjadi 'pembawa' atau terkena penyakit ain, didiklah diri kita agar tidak tergolong dalam kalangan mereka yang mempunyai perasaan hasad dengki.

Ujar Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood, perasaan itu seharusnya dikikis apabila melihat kelebihan, kejayaan atau kebahagiaan orang lain.

USTAZAH SITI FATAHIYAH
USTAZAH SITI FATAHIYAH

Beliau turut berkongsi enam tip untuk mendidik kita agar tidak terjerumus dengan perasaan hasad dengki yang menatijahkan sesuatu buruk kepada diri sendiri dan orang di sekeliling.

Untuk mendidik hati kita, pertama sekali betulkan niat untuk merawat hati sendiri. Kemudian, setiap kali sebelum memulakan apa-apa pekerjaan atau amalan, mulakanlah dengan ucapan ta'awuz iaitu A'uzu billahi minashaitanir rajim dan disusuli dengan Basmallah, terang beliau.

"Seperkara lagi, beristighfarlah dengan ucapan Astaghfirullah al-a'zim untuk diri kita, bukan untuk orang lain. Ini kerana, istighfar sebenarnya adalah permohonan ampun kita kepada ALLAH supaya DIA mengampuni diri kita.

"Selepas itu, biasakanlah diri kita untuk melihat sekeliling dengan aura yang positif. Ia termasuklah apabila kita berhadapan dengan seseorang. Akhir sekali, jangan lupa untuk sentiasa bermuhasabah diri melihat kembali kesalahan, kekurangan dan dosa yang dilakukan diri kita," katanya ketika ditemui Sinar Islam baru-baru ini.

Ustazah Siti Fatahiyah turut menitipkan pesan agar kita melazimi bacaan Surah al-Mulk sebelum tidur.

"Sebelum memejamkan mata, maafkanlah kesalahan orang kepada kita tidak kiralah apa juga yang dilakukan kepada kita. Ia bukan membuatkan mereka tenang, tetapi hakikatnya menjadikan hidup kita lebih tenang. Selebihnya, kita serahkan kepada ALLAH kerana DIA yang Maha Berkuasa dan sebaik-baik pelindung," ujar beliau.

Setiap kali keluar rumah, kata beliau, seeloknya bacalah ayat Kursi sebagai benteng. Insya-ALLAH ia akan menjadi pendinding kepada kita daripada perkara yang buruk seperti penyakit ain.

"Amalkan juga doa Bismillahillazi layadurru ma'asmihi syai'un fil ardi wala fis sama'i wa huwassami'ul 'alim (Dengan nama ALLAH yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan di langit tidak akan berbahaya, DIALAH yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui).

"Doa-doa yang dibaca perlulah istiqamah untuk menjaga pendinding diri daripada segala hasad dengki manusia atau penyakit ain yang mungkin ada di sekeliling kita," ujar beliau mengakhiri perkongsian ilmu.

ANEKDOT

Tanda-tanda terkena penyakit ain

1. Wajah nampak pucat seperti orang sakit.

2. Tubuh badan yang selalu lemah dan tidak bersemangat.

3. Badan selalu demam panas.

4. Emosi yang tidak stabil dan selalu marah-marah tanpa sebab.

5. Dibenci oleh ahli keluarganya sendiri dan orang sekeliling sehingga boleh menyebabkan dia hilang jawatan. Jika seseorang itu berniaga, perniagaannya lingkup disebabkan hasad dengki orang lain yang melihatnya.

6. Bermimpi sesuatu yang pelik.

7. Tanda-tanda penyakit ain hampir sama dengan tanda-tanda gangguan jin dan sihir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!