Lima kes rasuah Adam Radlan dibicarakan bersama
KUALA LUMPUR – Sebanyak lima pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Wibawa yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen di sini akan dibicarakan bersama.
Hakim, Suzana Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamry membuat permohonan itu mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Lima pertuduhan rasuah itu, dibenarkan untuk dibicarakan bersama dan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini dikekalkan.
“Saya menetapkan tarikh sebutan kes pada 16 Februari depan untuk serahan dokumen,” kata hakim.
Sementara itu, semasa prosiding, Mohd Fadhly memohon tarikh sebutan ditetapkan sebelum perbicaraan bermula bagi pihak pendakwaan mengemaskini senarai saksi.
Selain itu, beliau berkata, dokumen berkaitan kes untuk baki tujuh lagi pertuduhan pengubahan haram, telah diserahkan kepada pasukan pembelaan.
“Saya dimaklumkan oleh pihak pembelaan bahawa, mereka ingin meneliti dokumen tersebut sebelum mereka memaklumkan kepada pihak pendakwaan sama ada terdapat bantahan atau sebaliknya,” katanya.
Perkara tersebut disahkan peguam, Alaistair Brandah Norman yang mewakili pemimpin politik itu.
Pada 21 Februari tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat ini dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.
Dia turut didakwa atas satu tuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Keesokkan hari, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh melalui akaun CIMB Bank Bhd milik Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd yang dia adalah pengarah syarikat berkenaan.
Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan pembinaan jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia masing-masing bernilai RM141 juta serta RM47.8 juta.
Pada 28 Februari tahun sama, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta rasuah RM2 juta, Tan Chuan sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia, di sebuah restoran di Damansara.
Pada 25 Oktober 2023, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengunakan wang daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000, bermula 2021 lalu.
Dia didakwa di Mahkamah Sesyen sekali lagi pada 9 November, atas enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM3.7 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!