Jangan heret institusi diraja dalam taktik fitnah politik kotor, jahat - Muhyiddin

Tangkap layar hantaran Facebook Muhyiddin pada Khamis.
Tangkap layar hantaran Facebook Muhyiddin pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan konco-konconya yang menuduh gabungan itu cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Tegas Ahli Parlimen Pagoh itu, dakwaan tersebut juga jelas satu fitnah melulu yang jelek, keterlaluan dan tidak masuk akal.

"Saya percaya mereka yang membuat dan menyebar fitnah ini melakukan kesalahan berat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Laporan polis telah dibuat oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung PN supaya mereka yang berkenaan disiasat dan diambil tindakan tegas.

"Saya juga mengingatkan pemimpin PH dan konco-konconya supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang amat jahat dan kotor ini.

"Janganlah memfitnah orang lain semata-mata untuk menutup pekung kelemahan dan kegagalan diri sendiri," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan seorang Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan seorang pemimpin PN terbabit dalam cubaan merasuah individu berpengaruh dan ahli Parlimen untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Dakwaan itu yang disiarkan sebuah blog mendakwa pemimpin PN yang juga seorang ahli Parlimen telah menyediakan dana sejumlah RM1 bilion untuk memberi rasuah kepada wakil rakyat kerajaan agar menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.

Sebelum itu, timbul dakwaan wujud gerakan dikenali Langkah Dubai dipercayai bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Malaysia mempunyai peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan cara serta kaedah yang sah dalam pelantikan perdana menteri dan pembentukan kerajaan.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebuah kerajaan dibentuk sama ada melalui pilihan raya atau di luar pilihan raya iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri meletakkan jawatan.

"Peruntukan perlembagaan ini mestilah dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!