Pengasuh warga Indonesia mengaku salah sembunyi kelahiran bayi
KANGAR - Seorang pengasuh wanita warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki secara rahsia, pada 21 Disember lepas.
Tertuduh Yuni Widya Sari, 28, didapati menyembunyikan kelahiran dengan cara mengebumikan mayat bayi lelaki itu, yang dilahirkannya secara rahsia di Taman Mutiara di sini lebih kurang pukul 6.30 pagi.
Dia yang berasal dari Medan, Indonesia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan yang dilaksanakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali memohon penangguhan mahkamah untuk fakta kes dan hukuman, kerana laporan post-mortem dan DNA yang masih belum selesai.
Mahkamah menetapkan 15 Februari depan untuk fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh.
Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Perlis Nurul Hanani Che Nor, memohon mahkamah dapat memberikan jaminan yang rendah kepada anak guamnya, memandangkan tertuduh merupakan ibu tunggal kepada dua anak berumur 4 dan 5 tahun yang dijaga oleh ibunya di Medan.
Mahkamah membenarkan rayuan Nurul Hanani dengan menetapkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!