Ackbal dilantik Panglima TUDM baharu
SUBANG - Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dilantik sebagai Panglima TUDM yang ke-19 berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu berkuat kuasa semalam.
Upacara pemakaian pangkat Jeneral kepada Ackbal dipakaikan sendiri oleh Affendi di Pangkalan Udara Subang, di sini. Selain itu, Affendi turut menyerahkan tongkat kuasa Panglima TUDM kepada Ackbal dalam majlis serah terima tugas jawatan nombor satu TUDM itu.
Sementara itu, Affendi dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Ackbal yang menurutnya merupakan calon paling sesuai untuk menerajui TUDM.
“Saya yakin Ackbal akan dapat meneruskan legasi kecemerlangan TUDM dan seterusnya memimpin TUDM ke arah wawasan TUDM untuk menjadi satu kuasa yang unggul,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!