Impian suku akhir Tang Jie-Ee Wei lebur
IMPIAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mengulangi pencapaian musim lalu mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 tidak kesampaian setelah perjalanan mereka tersekat dalam pusingan kedua pada Khamis.
Pilihan kelapan kejohanan itu tewas kepada beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 24-22, 21-14 dalam tempoh 42 minit permainan di Axiata Arena.
Pasangan di ranking kesembilan dunia itu nyata kecewa dengan prestasi mereka yang cuba memberikan aksi terbaik, namun terpaksa akur beregu lawan lebih baik.
"Saya tak boleh nak fikir, kecewa. Cuba buat kelainan dan mengubah corak permainan, namun mereka lebih baik. Segalanya tidak menjadi," ujar Tang Jie.
Kekalahan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit dan perlu membuat lebih banyak kerja rumah untuk berada pada prestasi lebih baik.
"Memang hari ini (Khamis) main tak bagus. Semua segi (taktikal dan corak permainan)," ujar Ee Wei.
Dalam pada itu, skrip sama turut menimpa pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei apabila kalah kepada pilihan ketujuh kejohanan, Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia 21-15, 24-22.
“Ini bukan permainan terbaik saya dan jurang prestasi dengan lawan juga masih jauh. Saya tidak berpuas hati dengan aksi ini selain banyak buat kesilapan.
“Saya perlu kerja lebih keras. Pemain lawan mampu kawal permainan dengan baik terutama pada set kedua," ujar pemain di ranking ke-31 dunia itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!